MEF minta kerajaan kaji kadar caruman KWSP
SHAH ALAM - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan mengkaji semula kadar caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bagi membantu majikan sektor swasta mendepani ekonomi negara yang dijangka lebih mencabar tahun ini.
Presiden MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya mencadangkan peratusan kadar caruman yang dibayar majikan dan pekerja dikurangkan.
Menurutnya, langkah itu akan memberi daya tahan kepada majikan bagi menampung kos perniagaan dan pekerja mempunyai lebihan pendapatan untuk berbelanja.
"Situasi ekonomi tidak menentu turut dipengaruhi penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang akan menjejaskan majikan di pelbagai sektor terutama perhotelan dan pelancongan.
“Pada tahun 2018, hampir 24,000 pekerja kehilangan pekerjaan manakala tahun lepas kira-kira 40,000 mengalami nasib sama.
"Bagi tahun ini, ada pihak yang menjangkakan jumlah itu meningkat antara 90,000 hingga 100,000 orang. Ini amat membimbangkan," katanya kepada Sinar Harian.
Shamsuddin berkata, MEF mengemukakan permohonan bertulis kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tujuan tersebut dengan meminta kerajaan menyediakan beberapa insentif tertentu.
Menurutnya, MEF turut memohon kerajaan menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minima sehingga ekonomi negara kembali pulih.
"Ini bagi membantu majikan sektor swasta bertahan dan mengelak daripada mengambil langkah pengurangan pekerja.
"Banyak pihak belum bersedia menghadapi impak wabak Covid-19 maka kerajaan perlu ambil langkah intervensi segera. Jangan tunggu lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!