Katsuhito Kinoshi pengendali baharu Selangor FC
[DIKEMAS KINI] GERGASI Liga Malaysia (Liga-M), Selangor FC mengumumkan pelantikan Katsuhito Kinoshi sebagai pengendali baharu The Red Giants pada Sabtu.
Kinoshi kelahiran Tokyo, Jepun mengisi kekosongan ditinggalkan Nidzam Jamil yang meletakkan jawatan pada 30 Oktober lalu.
"Saya berbesar hati untuk menyertai Selangor FC, dan teruja untuk bekerjasama dengan pemain-pemain berbakat di sini.
"Kita akan berusaha bersama untuk membina pasukan yang bukan sahaja kuat dari segi taktikal tetapi juga dipenuhi dengan semangat dan keazaman untuk berjaya," kata Kinoshi.
Kinoshi akan memulakan tugasan pertama bersama Selangor melayan kunjungan kelab Thailand, Muangthong United dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Khamis ini.
Red Giants pada ketika ini berada di kedudukan kedua Kumpulan H selepas mengumpul tujuh mata setelah mengharungi empat perlawanan.
Gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors memimpin kumpulan dengan sembilan mata, manakala Muangthong United ketiga (lima mata) diikuti Dynamic Herb Cebu keempat (satu mata).
Red Giants dikendalikan pengendali sementara Abdifitaah Mohamed Hassan sebelum itu meraih keputusan seri 1-1 ketika berdepan Sri Pahang dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Sabtu.
Juara 33 kali itu terlebih dulu dikejutkan jaringan pemain tengah Tok Gajah, Sean Eugene Selvaraj dengan gol minit ke-27 memimpin separuh masa pertama.
Pemain import dari Croatia, Nikola Jambor muncul penyelamat Red Giants apabila meledak jaringan penyamaan pada minit ke-83.
Kedua-dua pasukan akan berentap pada timbal balik kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 1 Disember depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!