Polis tembak polis kerana tidak senang pelaku tangkap pengusaha lombong haram

Jenazah mangsa dibawa ke kampung halamannya di Makassar. Foto Agensi. Gambar kecil: AKP Riyanto
Jenazah mangsa dibawa ke kampung halamannya di Makassar. Foto Agensi. Gambar kecil: AKP Riyanto
A
A
A

JAKARTA - Insiden polis menembak rakan setugas berlaku lagi di Indonesia, kali ini terjadi di balai polis Solok Selatan, Sumatera Barat.

Media tempatan melaporkan mangsa, pegawai polis unit siasatan jenayah, AKP Ryanto Ulil Anshar meninggal dunia ditempat kejadian selepas terkena tembakan oleh pegawai polis unit perancangan operasi, AKP Dadang Iskandar.

Kejadian berlaku pada Jumaat sekitar jam 12.43 tengah hari waktu tempatan di kawasan pakir balai polis Solok Selatan yang terletak di Jorong Bukit Malintang Barat, Nagari Lubuk Gadang, Kecamatan Sangir.

Menurut maklumat awal, motif tembakan berlaku berkait dengan tindakan AKP Ryanto yang telah menangkap seorang pengusaha perlombongan haram di Solok Selatan, penangkapan itu dikatakan telah menimbulkan rasa tidak puas hati AKP Dadang.

AKP Dadang dilaporkan melepaskan dua tembakan kepada mangsa sebelum mangsa rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Selepas kejadian itu, suspek melarikan diri menggunakan kenderaan rasmi polis.

Mengesahkan kejadian itu, jurucakap polis Sumatera Barat, Kombes Pol Dwi Sulistyawan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak mereka.

"Ia, benar telah berlaku insiden tembakan, kes ini masih dalam tahap siasatan, perkembangan lanjut akan kami maklumkan kelak," katanya kepada wartawan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!