Langkah PM tak layan kenyataan picisan wajar dipuji
SHAH ALAM – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan melayan kenyataan picisan yang tidak membantu ke arah usaha membangunkan negara wajar dipuji.
Pendirian Anwar itu dizahirkan pada Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memfokuskan kepada agenda pembangunan negara, memperkukuh ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.
Anwar dalam pada itu turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan melaksanakan program secara telus dan bersih.
Mengambil contoh lawatan beliau baru-baru ini, Anwar berkata, kerajaan menganjurkan syarikat swasta yang berpotensi melabur serta sedang melabur untuk menyertai rombongan, sekali gus membayar kos.
"Mereka menyertai rombongan dan bayar kos. Itu pun jadi salah?. Jadi negara ini, kalau kita layan sangat, yang curi, yang rompak dan yang sakau itu dipuja,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menegaskan perbezaan pendirian politik tidak bermakna kerajaan meminggirkan negeri yang dikuasai pembangkang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui negeri dipimpin oleh pembangkang seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis mendapat jumlah royalti yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, fakta berkenaan itu kadang-kadang tidak sampai ke bawah disebabkan politik.
Ini kerana dalam dunia media sosial pelbagai pendapat dan kritikan boleh dilontarkan oleh sesiapa sahaja tanpa perlu menyelidik kebenaran dan fakta terlebih dahulu.
Sikap hentam kromo yang kian membarah menyebabkan berita berbentuk dakwaan, propaganda yang menjadi agenda pihak tertentu mudah tersebar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!