INAM kemuka empat cadangan elak jururawat terbeban
SHAH ALAM - Persatuan Jururawat Islam Malaysia (INAM) menggariskan empat cadangan yang boleh difokuskan oleh kerajaan bagi mengelakkan jururawat terbeban dengan kerja melampau sekiranya tambahan tiga jam waktu bekerja seminggu dilaksanakan.
Pengerusinya, Zamri Shahri berkata, antara cadangan tersebut ialah penambahan waktu seharusnya diberikan ruang ketika bekerja pagi sahaja, satu waktu sesi fleksibel ditawarkan, tidak digalakkan tambah selepas habis kerja malam dan hujung waktu sesi petang.
Jelasnya, ini kerana cabaran dalam kerjaya sebagai seorang jururawat tidak dapat disamakan dengan bidang lain.
“Menjaga orang sakit, cabaran mental dan fizikal ada kalanya terlalu subjektif. Ia memerlukan keseimbangan emosi serta fizikal yang sihat bagi memastikan perawatan terbaik dapat diberikan.
“Ini belum lagi ditambah pelbagai isu berkaitan waris, jenis prosedur perlu dilakukan di wad dan perancangan perawatan doktor yang dinamik. Ia menjadikan seorang jururawat itu telah terbeban dengan bebanan yang bukan semua orang mampu menggalasnya.
“Jadi, dengan lebih masa berada di wad, sudah pastinya bebanan kerja akan bertambah. Maka kita semua percaya ia akan mendatangkan kesan negatif kepada jururawat secara individu,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun Zamri berkata, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan dan menyokong sepenuhnya perancangan yang ingin dilakukan.
“Selagi mana ia mendatangkan manfaat kepada penjagaan pesakit dan yang paling utama, kebajikan para jururawat itu terjaga, kami akur. Ingatlah, jika ‘jantung’ hospital ini sakit maka akan lumpuh sistem kesihatan negara ini,” ujar beliau.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa menyemak semula keputusan mewajibkan tambahan tiga jam waktu bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini.
Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) dalam kenyataan berkata, arahan baharu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu bukan sahaja tidak adil malah berisiko memburukkan lagi keadaan dihadapi kakitangan kejururawatan yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara.
Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan tambahan waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital di bawah arahan baharu SSPA, munasabah kerana kebajikan lebih terjaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!