Anak sumber kekuatan Emma Maembong

Emma cukup positif menghadapi ujian dalam hidupnya.
Emma cukup positif menghadapi ujian dalam hidupnya.
A
A
A

APABILA runtuhnya rumah tangga, sering kali cerita yang kita dengari selepas itu adalah perebutan penjagaan hak anak-anak.

Bahkan tidak kurang juga meluahkan kesan mental dan emosi menjadi anak kepada pasangan bercerai dan bermusuh sehingga ke akhir usia.

Namun berbeza dengan pelakon berdarah kacukan, Emma Maembong, bukan sahaja tidak mendedahkan perihal rumah tangga kepada umum biarpun selepas bercerai, beliau dan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar masih mengekalkan hubungan baik.

Malah tidak kurang juga yang enggan mempercayai bahawa perkahwinan yang terbina empat tahun lalu sudah berakhir.

Emma dan Shazli masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.
Emma dan Shazli masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.

Memilih untuk merahsiakan bila dan punca penceraian terjadi, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu mengakui keputusan yang dibuat bukan satu perkara mudah.

Sementelah dua anaknya, Shariq Gabriel, 2, dan Shakil Aryan Shah, setahun, masih terlalu mentah untuk memahami erti pergolakan antara ibu dan bapa mereka.

Menjadikan dua anaknya sebagai sumber kekuatan, Emma berkata, apa yang penting adalah menjaga mental anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

"Tiada siapa yang mahukan perkahwinan berakhir di tengah jalan, tiada mana-mana pasangan yang mahu bergaduh. Setiap orang ada impian tetapi tidak semua menjadi kenyataan seperti yang diinginkan.

"Anak-anak membesar dan mereka perlukan kasih sayang ibu dan ayah mereka. Bagi mereka, ibu ayah adalah wira mereka.

“Jadi pada saya, walaupun kami bercerai, tak perlulah kami bergaduh dan rebutkan hak penjagaan anak. Saya tidak bersetuju untuk berdendam dengan bekas pasangan, halang jumpa anak kerana pada akhirnya, anak-anak yang jadi mangsa,” katanya.

Emma berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Jangan Pandang Belakang 2 di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah Emma, sebelum keputusan itu dibuat, beliau dan Shazli terlebih dahulu cuba memperbaiki perkahwinan mereka, namun pada akhirnya melihat hanya perpisahan yang terbaik buat mereka.

Dedah selebriti berusia 32 tahun itu, beliau bukan sahaja merahsiakan penceraian itu daripada umum, tetapi juga keluarga.

"Kalau ikutkan saya tidak mahu dedahkan perihal penceraian ini kepada umum tetapi selepas berbincang dengan bekas suami, kami sepakat untuk beritahu.

"Keluarga juga terkejut dan bertanya kepada kami bercerai. Apa yang saya kata, bagi saya perkahwinan kami bukan mudah, tetapi tidak perlu cerita apa punca kecewa.

“Kami berpisah cara baik, tidak bergaduh. Saya dan bekas suami sebelum bercerai cuba perbaiki hubungan, tetapi jodoh kami tak panjang. Tapi perceraian ini bukanlah penamat segalanya.

"Bagi saya, jika kita percaya pada ketentuan ALLAH, insya-ALLAH kita akan reda melalui setiap ujian-NYA," jelas Emma tenang.

Positif mengharungi ujian yang datang, bintang utama Takdir Itu Milik Aku itu tidak serik untuk kembali bergelar isteri pada masa hadapan.

Bagaimanapun tegas Emma, setakat ini tiada istilah orang ketiga yang menjadi punca kehancuran rumah tangga mereka.

“Kami dah cukup matang melalui perpisahan ini. Kalau untuk kembali bersama, saya tak tahu. Jodoh ALLAH yang tentukan.

“Apa pun saya tak mahu komen lebih. Cukup sekadar umum tahu saya gembira dengan hubungan saya dan bekas suami yang masih baik, sama-sama membesarkan anak-anak kami,” jelasnya.

Terdahulu, Emma mengejutkan peminat apabila mendedahkan sudah bercerai dan telah tamat tempoh idah pada Oktober lalu.

SH: Seram

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu, Emma berkata, beliau membawakan watak sebagai Lynn, adik kepada Dharma (sebelum ini dijayakan Pierre Andre dalam filem pertama).

Ujar beliau, antara sebab utama menerima untuk membintangi sekuel terbitan MIG itu adalah kerana kejayaan naskhah pertama 17 tahun lalu.

"Sudah tentulah saya teruja kerana tahu bagaimana fenomena Jangan Pandang Belakang 17 tahun lalu, tetapi tidak sangka saya yang bawa watak utama.

"Cuma apa yang saya harapkan, Pierre selaku pengarah mempunyai lebih masa untuk mengolah skrip ini agar sama mantap macam filem pertama," katanya yang berharap filem itu akan berjaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!