Tangguh RUU Pekerja Gig: Kerajaan disyor ambil langkah sementara

Hakimah Nur. Laporan Sinar Harian
Hakimah Nur. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disyorkan mengambil langkah sementara untuk melindungi hak pekerja gig dan memastikan keadilan dalam sektor tersebut susulan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig.

Pakar ekonomi, Dr Hakimah Nur Ahmad Hamidi berkata, ini kerana penangguhan itu akan menyebabkan ketidakpastian dalam kalangan pekerja gig yang merasa hak dan kebajikan mereka terabai sementara menunggu perundangan yang jelas.

“Salah satu langkah sementara yang boleh diambil kerajaan adalah meningkatkan perlindungan sosial secara sukarela dengan menggalakkan pekerja gig menyertai skim seperti PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Kerajaan juga boleh melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan mengenai hak dan tanggungjawab pekerja gig,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu berkata, kerajaan juga boleh mewujudkan platform dialog terbuka antara kerajaan, pekerja gig, dan syarikat platform untuk membincangkan isu-isu semasa dan mencari penyelesaian.

“Penguatkuasaan undang-undang buruh sedia ada perlu diaplikasikan kepada pekerja gig, terutama dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Sokongan kewangan dan bantuan kepada pekerja gig yang terjejas juga boleh dipertimbangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!