Sastera hubungannya dengan falsafah
KITA hampir lupa merayakan atau mengingati Hari Falsafah Sedunia yang telah berlangsung pada 18 November 2024 yang lalu.
Sejak tahun 2005, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menetapkan Hari Falsafah Sedunia pada hari Khamis minggu ketiga November. Perayaan ini diwujudkan memandangkan betapa pentingnya kehidupan manusia dengan falsafah.
Etimologi falsafah pinjaman philosophy yang berasal daripada gabungan dua perkataan Greek tua iaitu philein yang bermaksud menyintai dan sophos yang bermaksud kebijaksanaan. Dengan itu, falsafah ialah kecintaan terhadap kebijaksanaan atau mencintai ilmu pengetahuan atau hikmah.
Tokoh yang mempeloporinya ialah Phytagoras, Plato dan Aristotle. Phytagoras falsafah ialah ilmu yang membicarakan kecerdikan manusia. Plato usaha pencarian terhadap keilmuan yang benar lagi asli. Aristotle falsafah ilmu pengetahuan yang meliputi kebenaran seperti dalam metafizika, logik, retorika, etika, ekonomi, politik dan estetika.
Hari Falsafah Sedunia mengingatkan supaya manusia menyintai ilmu untuk mencari kebenaran. Menggalakkan seseorang melakukan penyelidikan dan analisis untuk keperluan epistemologi.
Isu semasa dan kontemporari hendaklah diutamakan supaya dapat memecahkan permasalahan bagi melunaskan kebuntuan hidup. Justeru, Hari Falsafah Sedunia cuba meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya falsafah di dunia globalisasi sekarang.
Di samping itu, cuba meneliti dan menilai situasi pengajaran falsafah di seluruh dunia. Dengan kata lain melihat betapa pentingnya universalisasi pendidikan falsafah untuk umat mendatang.
Dalam konteks ini kita perlu membuat telaah sejauh mana hubungan pendidikan sastera dengan falsafah. Kita menyedari falsafah pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan terhadap keharmonian serta kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Falsafah pendidikan negara itu dapat direalisasikan dunia kepengarangan yang mempunyai pertaliannya dengan aspek idea, ideologi dan idealisme pengarang. Terutamanya, dalam bidang kajian sastera, boleh dikaji apakah falsafah pengarang?
Jacqeus Deridda pernah mengkaji falsafah Shakespeare, “kekuatan dramatis tragedi dan komedinya menggambarkan kekuatan falsafah Barat yang mendalam.” Tiga kriteria umum falsafah Greek terletak pada pemikiran, moral dan pendidikan dalam pembinaan warganya.
Sepanjang perkembangannya, pemikiran dominan sastera Greek berlegar di sekitar pemikiran hubungan dengan dewa, kesan peperangan, penentangan terhadap kezaliman, perjuangan individu dalam rebutan kekuasaan, hubungan sesama manusia, pembentukan budaya dan tamadun masyarakat Greek. Deridda juga meneliti falsafah karya Jean-Jacques Rousseau, Stephane Mallarme, James Joyce dan Franz Kafka.
Pak Hamka pernah berkata, “seorang pengarang besar itu, di belakangnya tersembunyi sebuah falsafah.” Keris Mas mencapai taraf sebagai pengarang unggul, kerana di belakangnya tersimpul sebuah perjuangan idealisme bangsa.
Jalaluddin Rumi dikagumi, kerana karyanya yang mengandung falsafah, dengan daya intelektualnya yang tinggi membicarakan tentang kekuatan manusia, impaknya besar menginspirasi dunia dengan penuh magis dan abadi.
Jambatan penghubung antara falsafah dan sastera terletak kepada objek yang menjadi pemikiran karya. Walaupun pada peringkat awal perkembangan ilmu sastera, alam memainkan peranan penting sebagai sumber karya seperti yang diteorikan melalui teori mimesis dan realisme formal, namun perkembangan selanjutnya menunjukkan karya sastera lebih memaparkan kejadian-kejadian yang berlaku dalam masyarakat yang bersifat grafik.
Dalam hal ini, karya sastera lebih merupakan salinan atau fotokopi masyarakatnya, yang terbayang pada salah satu koda Teori Sastera Marxisme dalam konsep pencerminan itu. Kemudian dalam perkembangan selanjutnya, apabila segolongan menulis memberontak terhadap belenggu cerminan tersebut, masuk ke narotologi unrealisme dan surealisme, peranan falsafah dan intelektualisme mengukuhkan dirinya dalam kesusasteraan.
ESTETIKA
Secara lebih jelas lagi, estetika merupakan salah satu bidang ilmu falsafah adalah juga merupakan tunjang kepada kesusasteraan. Sastera tanpa keindahan tidak ubah seperti pakaian yang porak-parik dan koyak-mayak di sana sini, bukan sahaja buruk, juga tidak berfungsi.
Semenjak Aristotle hinggalah ke zaman kontemporari ini, persoalan estetika banyak difalsafahkan di sekitar konsep keindahan dalam semua genre sastera.
Estetika amat dipentingkan dalam menilai sesebuah karya. Menyentuh tentang hakikat seni, Aristotle memandang falsafah sastera sebagai hasrat manusia untuk meniru, bertujuan untuk membersihkan jiwa.
Apabila persoalan falsafah dan sastera ditarik secara global di zaman kosmosentrik iaitu pengkarya menjadikan alam sebagai pusatnya, kemudian dilanjutkan dengan teosentrik yang meletakkan alam dalam paksi ciptaan Tuhan, teka-teks kreatif ditujukan untuk membesarkan Maha Pencipta.
Hampir setiap karya menyatakan dirinya bersama kebesaran Ilahi, dan teks-teks sedemikian tumbuh dengan suburnya pada zaman kegemilangan Islam, Bani Abbasiyah.
Bukti-bukti sejarah menunjukkan betapa besarnya pengaruh falsafah dalam penciptaan karya sastera. Jika zaman klasik dunia Yunani dan Roma, menjadikan falsafah alam sebagai tunjang berkarya, bagi umat Islam pula falsafah Islam itu sendiri sebagai sumber pengkaryaan.
Kita menyaksikan menjelangnya zaman moden, falsafah mulai berkembang ke arah antroposentrik, terutamanya daripada pemikiran Descartes, Hobbes, Locke, Hume dan Rousseau. Kemudian falsafah aliran dialektik seperti Hegel, Marx dan Habermas, sastera dikatakan mencari dalam akar-akar kehidupan manusia sendiri.
Seterusnya di zaman pascamoden, falsafah dengan pemikiran Levi Strauss, Foucault, Kroker dan Nichols tergoda persoalan simbol-simbol, tanda dan petandanya atau logosentrik yang meletakkan falsafah dalam minda manusia.
Falsafah tampaknya sentiasa berada di depan sebagai lampu suluh kepada bidang sastera. Falsafah itu sendiri sentiasa melihat jauh ke belakang ke bidang sejarah, dan pada masa yang sama meneropong jauh ke depan bersifat futuristik. Semua orang hampir bersetuju dengan pandangan aliran sastera unrealisme pada zaman pascamoden lebih memberatkan falsafah.
Oleh itu, falsafah sastera amat penting untuk mewujudkan sebuah hasil sastera yang memaparkan pengalaman kehidupan yang dapat dinikmati olah khalayak sastera secara yang lebih mendalam.
Hakikat kebenaran yang terbenam di dasar tasik karya sastera akan dapat dinikmati dengan cara yang lebih optimum, kerana karya sastera itu dihiasi dan dilapisi kemanisan dan keindahan dengan kata-kata falsafah.
Fakta-fakta kehidupan yang bersifat objektif dapat meresap ke dalam jiwa pembaca dengan mudah dan seterusnya akan membentuk intuisi dan pemikiran ke arah mencapai hakikat kebenaran yang sebenarnya. Sesungguhnya falsafah dapat meningkatkan nilai sesebuah karya sastera itu.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik,
pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!