Rekod terburuk Guardiola
PEP Guardiola mengakui pertahanan Manchester City terlalu rapuh selepas diabikan 0-4 oleh Tottenham Hotspur yang menyaksikan pengurus Sepanyol itu mengalami lima kekalahan berturut-turut buat kali pertama dalam karier pengurusannya.
Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad itu, James Maddison yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-28 menyumbat dua gol pada minit ke-13 dan m-20, manakala dua lagi gol pelawat dijaringkan Pedro Porro m-52 sebelum Brennan Johnson melengkapkan kemenangan bergaya Spurs m-93.
Kekalahan itu bakal menyaksikan City ketinggalan lapan mata jika pendahulu, Liverpool meraih kemenangan ke atas Southampton untuk mengumpul 31 mata.
Ini adalah kekalahan terbesar City di laman sendiri sejak mereka dibelasah Arsenal 1-5 di Maine Road 21 tahun lalu.
Mengulas kekalahan memalukan di laman sendiri, Guardiola yang baharu sahaja menandatangani lanjutan kontrak sehingga 2027 mengakui mereka perlu menerima realiti dan tidak perlu mencipta alasan.
"Jika anda kalah 4-0 tidak banyak untuk diperkatakan. Pertahanan terlalu rapuh.
"Dalam tempoh lapan tahun tidak pernah begini.
"Saya tahu lambat laun kami juga akan jatuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!