'Kita perlu bangkit lebih kuat daripada sebelumnya'

Guardiola
Guardiola
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan elemen bersatu akan menjadi kunci kepada kebangkitan penyandang juara itu selepas tewas lima perlawanan berturut-turut buat kali pertama dalam karier pengurusannya.

Anak buah Guardiola sebelum itu diaibkan kekalahan 0-4 semasa melayan kunjungan Tottenham Hotspur bimbingan Ange Postecoglou di Stadium Etihad hasil jaringan dijelmakan setiap babak James Maddison (minit ke-13, m-20), Pedro Porro (m-52) dan pemain ganti Brennan Johnson (m-93).

“Tidak ada cerita dongeng dalam kehidupan dan sukan, kadang-kadang anda perlu menjalani situasi ini.

"Anda perlu menerimanya dengan tidak boleh menyalahkan satu sama lain; kekal bersama, teruskan melakukan apa yang telah kami lakukan selama ini.

"Lari? Sama sekali tidak, kita perlu bangkit lebih kuat daripada sebelumnya. Apa yang akan menentukan kita ialah apabila kita gagal - kita bangkit dan menghadapinya,” kata Guardiola.

Kekalahan terbaharu selepas Guardiola

menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun, menyebabkan Manchester City ketinggalan lima mata daripada pendahulu liga, Liverpool, yang memiliki satu perlawanan.

Ketika juara Liga Perdana Inggeris berturut-turut selama 4 tahun itu bergelut dengan prestasi semasa, Guardiola tetap percaya kepada kemampuan setiap pemainnya dalam mengharungi jadual padat.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku musim ini tetapi tidak sesaat pun saya tidak meragui keupayaan pemain-pemain.

“Tiada pasukan di dunia yang boleh mengekalkan kejayaan selama lapan, sembilan, 10 tahun berturut-turut.

"Sudah tentu semuanya tidak baik tetapi apa yang kami cuba lakukan ialah menganalisisnya, dan lebih bersedia untuk ke perlawanan seterusnya kemudian lihat apa yang berlaku,” katanya.

Ketiadaan pemain tengah dan pemenang Ballon d'Or Rodri, yang diketepikan musim ini kerana kecederaan lutut, jelas membuktikan ketempangan City selain beberapa tonggak lain dibelenggu dengan kecederaan.

“Sudah tentu Rodri penting tetapi kami akur kehilangan khidmatnya untuk beberapa bulan.

"Begitu juga (John) Stones yang hanya boleh bermain 45 minit. Jack (Grealish) pula telah banyak kali cedera manakala Kevin (De Bruyne) dua bulan.

"Dalam apa keadaan sekali pun, kami perlu kembali bangkit menyegarkan semula fikiran kami. Musim ini masih panjang dan banyak perkara boleh berlaku."

Manchester City selepas ini akan melayan kunjungan kelab Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam di Stadium Etihad pada 27 November sebelum berdepan anak buah Arne Slot di Stadium Anfield pada 2 Disember.

Mengulas lanjut Guardiola berkata:

"Kami gembira apabila menang dan bimbang apabila tidak menang. Namun ia perkara biasa. Akan ada masalah jika mereka tidak bimbang atau saya tidak bimbang.

"Ya, kami tidak biasa mengharungi situasi ini tetapi ini realiti kehidupan bola sepak. Kadang-kadang ia berlaku dan kami perlu menerimanya kemudian kami akan bangkit lebih bertenaga."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!