Empat lelaki jual air ketum diberkas
KUANTAN - Empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran air ketum ditahan dalam satu serbuan di Tanjung Lumpur di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kesemua yang ditahan berusia 28 hingga 34 tahun dalam serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Task Force Balai Polis Kuantan, jam 12.05 tengah malam, Jumaat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi tersebut menemui pelbagai bahan dipercayai digunakan untuk memproses dan menjual air ketum.
"Kita menjumpai 51 liter cecair kehijauan disyaki air ketum yang disimpan dalam 68 bungkusan plastik lut sinar.
"Turut ditemui daun ketum seberat 29.8 kilogram (kg) termasuk yang direndam dalam periuk dan tujuh tong gas, dua dapur memasak, dua periuk besar, satu penimbang digital, dan bahan pembungkusan," katanya pada Ahad.
Beliau memberitahu, wang wang tunai berjumlah RM2,672 yang dipercayai hasil jualan air ketum turut dirampas.
Wan Mohd Zahari menambah, hasil soal siasat awal, dua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum.
"Semua suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kuantan bersama barang rampasan untuk tindakan lanjut.
"Ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek menunjukkan keputusan negatif," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!