Barcelona bernasib baik bawa pulang satu mata dari Balaidos

Hansi Flick
Hansi Flick
A
A
A

PENGENDALI Barcelona, Hansi Flick menegaskan pemain-pemain Blaugrana harus menyalahkan diri sendiri selepas terikat 2-2 ketika melakukan kunjungan ke Estadio de Balaidos menentang Celta Vigo dalam perlawanan LaLiga Sepanyol.

Malah tegas bekas pengendali kelab Bundesliga Jerman, Bayern Munich itu, gergasi Sepanyol tersebut cukup bernasib baik apabila dapat membawa pulang satu mata ketika mengekang kebangkitan skuad bimbingan Claudio Giraldez Gonzalez itu.

Barca memimpin permainan hasil jaringan kapten Raphinha (m-15) dan Robert Lewandowski (m-61), namun tempang selepas tonggak tengah Marc Casado dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-82.

Angkatan Los Celestes kemudian memanfaatkan kelebihan itu dengan meledak dua gol lewat permainan bagi mengikat kedudukan menerusi jaringan pemain gantian Alfonso Gonzalez (m-84) dan Hugo Alvarez (m-84) untuk mata 18 selepas mengharungi 14 perlawanan.

"Sejujurnya kami menampilkan permainan yang sangat teruk malam ini terutama dalam minit-minit terakhir perlawanan.

"Jika anda tidak bermain pada tahap 100 peratus anda tidak boleh menang. Begitulah keadaan keseluruhan permainan. Kami harus jujur.

"Perkara ini berlaku dan jelas permainan yang buruk. Pemain-pemain ternyata tidak gembira kerana semua boleh bermain lebih baik daripada apa yang kami lakukan hari ini.

"Anda perlu kekal fokus, kerana kadang-kadang nampaknya apa yang kami lakukan mudah sebaliknya tidak, " kata Flick.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Flick tidak menuding jari kepada Casado susulan kad merah atau pemain pertahanan Jules Kounde kerana kesilapan teruk yang membawa kepada gol Gonzalez, sebaliknya dia mengkritik usaha serta persembahan kolektif pasukannya.

"Kad merah dan kesilapan Kounde hanyalah akibat daripada permainan buruk pasukan. Kami melakukan banyak kesilapan dan kurang keyakinan terhadap bola sepanjang perlawanan.

“Kami tidak bermain bola sepak seperti biasa tetapi kami bernasib baik dengan beberapa situasi dan akhirnya mendapat mata tetapi kami perlu bertindak balas kerana situasi seperti ini tidak boleh berulang.

"Saya harap apa yang kami lihat hari ini tidak memberi impak negatif dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Brest. Kami perlu belajar daripada kesilapan," kata Flick.

Keputusan seri menyaksikan Barca mendahului liga dengan 34 mata, lima mata di depan Atletico Madrid kedua dan tujuh mata mengatasi Real Madrid ketiga, yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!