Proton sasar X70 catat jualan lebih baik pada 2020

Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong (kanan) bergambar ketika majlis pelancaran rasmi kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu iaitu Proton X70 edisi 2020 di Proton Centre Of Service Excellence, Subang Jaya hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar (tiga, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong (kanan) bergambar ketika majlis pelancaran rasmi kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu iaitu Proton X70 edisi 2020 di Proton Centre Of Service Excellence, Subang Jaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) yakin model X70 akan mencatat prestasi jualan lebih baik bagi tahun ini berbanding 2019 susulan pelancaran kenderaan itu versi pemasangan tempatan (CKD).

Tanpa mendedahkan angka sasaran sebenar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radzaif Mohamed berkata, versi CKD itu juga dijangka meraih sambutan hangat daripada pembeli yang berpotensi berikutan harga serta pakej menarik ditawarkan kepada pembeli awal.

"Kami mahu menjual lebih banyak model X70 tahun ini. Pada tahun lepas, kami berjaya menjual sejumlah 30,000 unit dan yakin angka itu akan meningkat tahun ini.

"Malah, tawarannya juga amat menarik selain tarikan aspek harganya untuk kalangan bakal pembeli," katanya selepas majlis pelancaran model X70 versi CKD di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Proton lancar X70 CKD dengan lima naik taraf

Di bawah versi itu, terdapat empat varian ditawarkan iaitu Standard 2WD dengan harga atas jalan tanpa insurans sebanyak RM94,800 seunit, Eksekutif 2WD (RM106, 800), Premium 2WD (RM119,800) dan Premium X 2WD (RM122,800) yang dilengkapi dengan bumbung panorama.

Radzaif berkata, versi CKD itu turut ditawarkan pada diskaun 13 peratus berbanding versi model diimport sepenuhnya (CBU), termasuk tawaran pembelian awal untuk 3,000 pembeli pertama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, syarikat itu sedang menimbang untuk mengeksport prospek pasaran jenis CKD itu ke pasaran antarabangsa walaupun dijangka memakan masa kerana Proton perlu meneliti permintaan di peringkat domestik terlebih dahulu.

"Pada tahun lepas, kami mengeksport unit CBU X70 ke Brunei. Bagi tahun ini, kami mahu memperluaskan lagi usaha yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

"Bagaimanapun, keutamaannya adalah untuk memastikan kami dapat memenuhi pasaran domestik," katanya.

Mengulas impak Covid-19 terhadap Proton, Radzaif berkata, ia adalah minimum berikutan syarikat itu sedang menumpukan usaha pengeluaran di peringkat tempatan.

"Kami ada vendor di China tetapi pada masa ini keadaan berjalan lancar dan baik tetapi pada masa sama kami turut memantau keadaan dengan teliti.

"Oleh kerana tumpuan syarikat kepada usaha peringkat tempatan, kami menggantikan vendor China dengan bekalan komponen tempatan dan bagi X70, buat masa ini kami mempunyai stok mencukupi untuk memenuhi keperluan (sedia ada). Kami memang bernasib baik," katanya.

Proton X70, kenderaan SUV segmen C- paling popular di Malaysia tahun lepas, dinobatkan sebagai Kereta Terbaik Keseluruhan 2019 dan diiktiraf Kenderaan Lima Tempat Duduk Terbaik SUV/Crossover Sederhana pada anugerah Kereta Terbaik Malaysia edisi Ke-18 pada bulan lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!