Bekas penulis habiskan sisa hidup sendirian di rumah usang

Omara menghabiskan sisa hidup bersendirian di sebuah teratak usang di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Terengganu.
Omara menghabiskan sisa hidup bersendirian di sebuah teratak usang di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang bekas penulis yang namanya dahulu sebaris dengan karyawan terkenal tanah air, kini menghabiskan sisa hidupnya bersendirian di sebuah rumah usang di Kampung Mengabang Telipot, di sini.

Omar Abdul Rahman, 73, atau lebih dikenali dengan nama pena Omara Rahman tiada pendapatan tetap dan bergantung harap kepada ihsan individu yang prihatin.

Omara hidup sendirian selepas berpisah dengan isterinya sejak lebih 10 tahun lalu.
Omara hidup sendirian selepas berpisah dengan isterinya sejak lebih 10 tahun lalu.

Anak seni itu baru-baru ini menerima kunjungan Ketua Pusat Pengajian Kerja Sosial, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Normah Awang Noh bersama sekumpulan sukarelawan di teratak usangnya di sini.

"Seramai 10 sukarelawan daripada pasukan sukarelawan UniSZA datang untuk menziarahi karyawan kita atau lebih dikenali sebagai Pak Omara.

"Kita membantu membersihkan rumah, supaya beliau berasa lebih selesa tinggal di rumah itu.

"Selain itu, kita juga menimba ilmu daripada beliau mengenai karya-karya dihasilkan terutama berkaitan dengan kualiti penghasilan puisi, novel dan beberapa hasil karya lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sukarelawan UniSZA membantu membersihkan rumah Omara ketika menziarahi penulis itu baru-baru ini.
Sukarelawan UniSZA membantu membersihkan rumah Omara ketika menziarahi penulis itu baru-baru ini.

Dr Normah memberitahu, pasukan sukarelawan UniSZA akan sentiasa mengikuti perkembangan Omara dalam membantu meringankan bebanan warga emas tersebut.

Omara yang namanya sebaris dengan penulis dan pemuisi tempatan termasuk Tokoh Seniman JM Aziz atau nama sebenarnya Abdul Aziz Abdul Rahman pernah menulis berpuluh-puluh cerpen dan sajak serta beberapa buah novel diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta syarikat penerbitan tempatan.

Omar atau lebih popular dengan nama pena Omara Rahmah menunjukkan beberapa novel, cerpen dan puisi hasil karyanya ketika aktif menulis sekitar tahun 1970 an hingga 1980 an.
Omar atau lebih popular dengan nama pena Omara Rahmah menunjukkan beberapa novel, cerpen dan puisi hasil karyanya ketika aktif menulis sekitar tahun 1970 an hingga 1980 an.

Selain itu beliau juga pernah menulis skrip drama bagi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah muncul di banyak pentas untuk bersajak.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu menjalani kehidupannya bersendirian selepas berpisah dengan isterinya lebih 10 tahun lalu.

Sukarelawan UniSZA membantu membersihkan rumah Omara supaya bekas penulis itu dapat menjalani rutin kehidupan dengan selesa.
Sukarelawan UniSZA membantu membersihkan rumah Omara supaya bekas penulis itu dapat menjalani rutin kehidupan dengan selesa.

"Saya dan Allahyarham JM Aziz sebelum ini berkawan rapat dan saling bertukar-tukar buah fikiran. Saya juga sering menaip karya-karyanya untuk diterbitkan.

"Selepas tidak lagi aktif menulis, saya banyak menghabiskan masa di rumah. Tambahan pula kudrat saya sudah tidak sekuat dahulu untuk bekerja," katanya yang berasal di Kampung Manir, di Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Omara pernah mengambil upah bekerja ladang di Sungai Tong, Setiu serta pernah bekerja sebagai pekerja pembersihan bagi mencari sumber pendapatan.

Jelasnya lagi, walaupun tidak lagi aktif berkarya, dia bersedia untuk berkongsi ilmu yang dimiliki terutama kepada golongan muda.

"Saya sedia kongsi ilmu dengan mereka yang berminat untuk dalam mencungkil bakat dalam bidang ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!