Penjawat awam Kedah dapat bonus RM2,000

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam di negeri ini sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan sumbangan mereka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bantuan khas kewangan tersebut akan dinikmati oleh 5,376 penjawat awam melibatkan peruntukan berjumlah RM12 juta.

Beliau berkata, pembayaran bagi bantuan khas kewangan ini akan dibuat sebahagiannya pada Mac dan bakinya pada Jun tahun depan.

“Bonus kali ini sama dengan tahun lepas, kita bayar pertama kali sempena Hari Raya dan kali kedua pada Jun,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2025 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini, pada Ahad.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri turut bersetuju supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember 2024.

“Selaras dengan pengumuman itu, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM30 juta tambahan secara keseluruhan kepada semua jabatan untuk tujuan pembayaran gaji semua penjawat awam negeri yang menerima opsyen SSPA bermula Disember.

"Sukacita saya umumkan kenaikan tersebut akan dibayar mulai gaji Disember ini,” katanya.

Menurutnya, kenaikan keseluruhan melibatkan RM2 juta untuk tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!