Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Kelantan baharu dilulus esok
KOTA BHARU - Penggubalan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Kelantan yang baharu dijadual diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri esok.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri itu dalam proses menambah baik perundangan berkaitan kawalan hiburan melalui Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.
“Kerajaan Kelantan sedang menggubal Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat -tempat Hiburan yang baharu.
“Penggubalan enakmen baharu itu adalah di peringkat akhir dan dijadualkan untuk kelulusan siding DUN esok,” katanya katanya pada Persidangan kali ketiga Penggal Kedua DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Harun Ismail (Pas-Tawang) berhubung perancangan untuk memastikan tiada pelanggaran terhadap Akta Kawalan Hiburan di negeri Kelantan bagi sesuatu penganjuran aktiviti hiburan di negeri ini.
Hilmi memberitahu, seterusnya kerajaan Kelantan juga sedang menggubal perundangan subsidiari iaitu Peraturan-peraturan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan.
“Pihak kerajaan negeri menyediakan garis panduan yang baharu, lebih komprehensif dan praktikal bagi menambah baik perundangan terdahulu.
“Peraturan dan garis panduan itu masih di peringkat jawatankuasa teknikal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!