Larangan rentas sempadan secara haram terpakai untuk pelajar - MKN

Anggota PGA memasang papan tanda peringatan kepada orang ramai supaya jangan menyeberang sempadan melalui Sungai Golok berdekatan pangkalan haram MCA dan Syed Agil, Rantau Panjang pada 21 November lalu. Foto Bernama
Anggota PGA memasang papan tanda peringatan kepada orang ramai supaya jangan menyeberang sempadan melalui Sungai Golok berdekatan pangkalan haram MCA dan Syed Agil, Rantau Panjang pada 21 November lalu. Foto Bernama
A
A
A

RANTAU PANJANG - Larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok tetap terpakai kepada semua pelajar di kedua-dua negara.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan akan ada mekanisme tertentu kepada semua pelajar yang merentasi sempadan menggunakan pangkalan haram.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan), Hamzah Ishak berkata, penguatkuasaan undang-undang berkenaan tetap akan dilaksanakan pada 1 Disember depan.

Menurut beliau, pelajar yang melintasi sempadan perlu menggunakan tiga pintu masuk yang sah.

"Pada masa sama kita tetap melaksanakan kedaulatan dan keutuhan sempadan Malaysia-Thailand," katanya selepas mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada Ahad.

Beliau memberitahu, hasil mesyuarat juga memutuskan pelaksanaan rentas sempadan akan dilakukan seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat iaitu tangkapan akan dilakukan terhadap pihak yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan melaksanakan kaedah tertentu untuk pelajar Thailand yang bersekolah di Rantau Panjang.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, keputusan sudah dicapai melalui mesyuarat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan bertindak menahan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bermula 1 Disember. Semua perbincangan akan dilakukan bersama Ketua Polis Kelantan," katanya.

Mesyuarat berlangsung hampir tiga jam bermula jam 10 pagi antara MKN dengan pelbagai agensi dalam negara termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (Imigresen).

Antara isu utama yang dibincangkan termasuk remtas sempadan membabitkan pelajar.

Sehingga kini dilaporkan kira-kira 500 pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!