Ibu bapa pendorong 2 OKU genggam ijazah

Zeng Fang bersama ibu bapanya, Alvin Teoh dan Goh Bee Hiang bergambar kenangan selepas menerima ijazah sempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad.
Zeng Fang bersama ibu bapanya, Alvin Teoh dan Goh Bee Hiang bergambar kenangan selepas menerima ijazah sempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad.
A
A
A

GEORGE TOWN - Meskipun cacat penglihatan, namun ia tidak menjadi halangan buat Teoh Zan Feng, 24, untuk menggenggam ijazah sempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad.

Anak tunggal kepada pasangan Alvin Teoh dan Goh Bee Hiang turut membuktikan keupayaannya untuk berdikari dan tinggal di asrama USM walaupun kediaman ibu bapanya juga di Pulau Pinang.

Zan Feng atau lebih mesra disapa dengan nama Ernest berkata, beliau sememangnya mahu tinggal di asrama memandangkan lebih mudah untuknya bergaul dengan rakan-rakan sekuliah selain dapat merasai kehidupan dalam kampus.

“Saya lebih mudah untuk mengikuti kelas secara fizikal, tambahan pula kemudahan yang disediakan untuk golongan kelainan upaya amat baik di USM.

“Pastinya saya ingin berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa kerana sentiasa menjadi pendukung kuat untuk saya menamatkan pengajian. Tanpa sokongan padu mereka saya mungkin tidak akan mampu sampai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Ernest turut menyuarakan hasrat menyambung pengajiannya ke peringkat sarjana dan mengucapkan berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya termasuk pengurusan USM, para pensyarah dan juga rakan sekuliah.

Dalam pada itu, ibu Zan Feng yang juga suri rumah berkata, anaknya yang disahkan buta sehari selepas dilahirkan menjadi kekuatan untuk beliau dan suami meneruskan kehidupan, sama seperti ibu bapa lain.

"Kami tidak mahu beliau tersisih kerana kekurangannya. Saya mengambil keputusan untuk tidak bekerja dan sentiasa bersamanya dalam proses pembesarannya, termasuk mempelajari Braille bagi memudahkan saya mengajarnya di rumah,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Zan Feng juga pernah dilepaskan mengikuti kem mobiliti di Amerika Syarikat selama enam bulan, berdikari sepenuhnya di bawah jagaan keluarga angkat di sana dan menyertai pelbagai program khas bersama rakan-rakan normal yang lain.

"Saya sebolehnya mahu memberi yang termampu buat anak saya. Dialah satu-satunya anak kami dan saya mahu dia membesar dengan normal dan bergaul dengan semua orang,"katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pelajar kelainan upaya Nor Elisha Mohd Zaini dari Tumpat, Kelantan turut membuktikan kekurangan pada diri tidak menjadi penghalang untuk menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun setengah sebelum berjaya memperoleh ijazah.

Nor Elisha bersama kedua ibu bapanya bergambar kenangan selepas sempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad.
Nor Elisha bersama kedua ibu bapanya bergambar kenangan selepas sempena Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) pada Ahad.

Graduan Ijazah Sarjana Muda dengan pengkhususan dalam Sastera dan minor Bahasa Malaysia itu dilahirkan tanpa kaki dan kini menggunakan kaki palsu.

Beliau berkata, sepanjang pengajian di USM, beliau mendapat sokongan daripada ibu bapa, kawan-kawan, dan bantuan khas bagi memudahkan pergerakan.

“Cabaran terbesar saya sepanjang pengajian adalah untuk menaiki bas yang disediakan kerana sentiasa penuh untuk ke kuliah.

"Namun, inisiatif oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) untuk pelajar PKU dengan pemberian basikal elektrik telah sangat membantu saya," jelasnya

Beliau turut menasihatkan pelajar yang senasib dengannya yang mendapat tawaran pengajian di USM agar tidak mudah berputus asa.

“USM menyediakan banyak inisiatif dan sentiasa prihatin terhadap keperluan pelajar OKU. Pihak pengurusan juga cakna dengan isu-isu yang diutarakan bagi memudahkan pengajian kami,” tambahnya.

Berkongsi kenangan manis sepanjang bergelar mahasiswa, Nor Elisha berkata, beliau pernah menerima Anugerah Dekan sepanjang pengajian, yang membakar semangatnya untuk terus maju ke peringkat lebih tinggi.

"Saya merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Jika ada rezeki, saya ingin kembali ke USM untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!