Pinda polisi sekat aktiviti perlombongan REE - Sanusi
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meminda polisi tertentu bagi membolehkan perlombongan unsur nadir bumi (REE) dapat dilakukan segera.
Beliau berkata, polisi sedia ada menyekat aktiviti perlombongan dalam hutan simpan yang kaya dengan mineral tersebut.
Menurutnya, ia menyebabkan lesen perlombongan tidak dapat dikeluarkan biarpun setelah diberikan kebenaran meneroka.
“Apabila tiada SOP (prosedur operasi standard), kebanyakan mineral itu ada dalam hutan simpan. Setelah permohonan menjelajah selesai kita nak keluarkan lesen melombong perlu dapatkan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Polisi NRES tidak menyokong sebarang perlombongan dalam hutan simpan, bila tak ada EIA, tak ada lah lesen melombong jadi tak boleh ekstrak lagi sehingga kementerian buat keputusan,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Sanusi berkata, REE mendapat permintaan tinggi khususnya dalam industri bateri untuk kenderaan elektrik (EV) namun SOP berkaitan masih belum diwujudkan.
“Saya sudah cadangkan supaya dihapuskan Polisi no 12, yang tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam hutan simpan. NRES perlu teliti polisi tersebut, baru JAS boleh keluarkan EIA seterusnya membolehkan lesen melombong dikeluarkan,” ujarnya.
Menurutnya, cadangan berkenaan dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Mineral Negara dan Majlis Tanah Negara pada tahun lepas.
“Kita masih tunggu langkah untuk segerakan SOP ini. Kita mahu buat kerja berdasarkan undang-undang, prosedur dan SOP jadi saya perlu bercakap isu ini.
“Ada juga orang buat isytihar benda tu benda lain bauksit lah, tapi tak betul. Kita tak mahu buat begitu. Perkara ini mengecewakan saya,” katanya.
Terdahulu ketika membentangkan Belanjawan 2025, Sanusi memaklumkan, Kedah akan meneruskan penerokaan REE bagi memastikan hasil baharu itu membawa manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Penerokaan REE mampu mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan negeri seiring hasrat untuk meningkatkan hasil kerajaan negeri dengan sasaran RM1 bilion menjelang 2028.
“Saya harap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan SOP yang betul dalam pengekstrakan REE kerana ia dikategorikan sebagai sumber hasil paling berdaya maju untuk tahun mendatang,” ujarnya.
Menurutnya lagi, rizab REE negeri Kedah dianggarkan berjumlah 1.196 juta tan metrik.
"Angka ini merupakan penerokaan hasil baharu yang dijangka diekstrak dalam tempoh 10 tahun akan datang. Diharapkan potensi REE ini membawa impak besar kepada ekonomi negeri," katanya.
Sanusi berkata, penerokaan hasil baharu seperti kredit karbon juga menjadi antara teras untuk mencapai sasaran kutipan hasil RM1 bilion.
“Potensi untuk mendapatkan hasil daripada penjualan karbon kepada syarikat-syarikat domestik dan antarabangsa yang ingin memenuhi piawaian mesra alam mampu menjana pendapatan lumayan kepada kerajaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan perlu mengeluarkan SOP bagi eksplorasi REE dengan segera bagi mengelak hasil mineral itu dieksport secara haram ke luar negara.
Dakwanya, ia berikutan terdapat pihak mengambil kesempatan dengan mengisytiharnya sebagai lantanida bagi membolehkan ia dieksport ke luar negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!