Kenaikan cukai taksiran, lesen perniagaan dibuat tergesa-gesa - ADUN Jeram
KUALA SELANGOR - Kenaikan cukai taksiran dan pelesenan perniagaan yang dilaksanakan kerajaan Selangor dianggap tidak sesuai pada masanya dan disifatkan terlalu tergesa-gesa tanpa memikirkan kesusahan rakyat secara keseluruhannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, kenaikan cukai pada tahun ini bukanlah dibantah kerana ia menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri, namun tidak sepatutnya dilaksanakan secara mendadak.
Menurut beliau, cukai taksiran misalnya mengalami kenaikan terlalu tinggi sehingga 25 peratus yang tentunya membebankan ekonomi rakyat sama ada di kawasan bandar atau kampung.
"Kita minta kaedah ini yang perlu diperbetulkan supaya kerajaan negeri bukan sahaja mendapat kutipan hasil, rakyat dan peniaga juga tidak terkesan dengan kenaikan cukai dan lesen ini.
"Kerajaan negeri sepatutnya menaikkan kadar sedia ada ini secara berperingkat-peringkat sama ada dalam tempoh jangka masa dua atau tiga tahun yang tentunya tidak membebankan semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Kejohanan Karom Beregu Terbuka Piala ADUN Jeram di Dewan Masjid Ae Ridhuan, Pekan Jeram pada Ahad.
Menurut Harrison, perkara itu juga dibangkitkan beliau semasa sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Kata beliau, kerajaan negeri juga seharusnya mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu dengan semua pihak termasuk ADUN dan ketua masyarakat.
"Sesi libat urus awal ini penting bagi membolehkan pandangan rakyat di peringkat bawah ini didengari dan kemudiannya diperhalusi sebelum pelaksanaannya," ujar beliau.
Mengulas mengenai program itu, Harrison berkata, sebanyak 160 beregu menyertai kejohanan anjuran Kelab Karom Pantai Jeram.
Menurut Harrison, wang tunai sebanyak RM8,000 menjadi rebutan kepada peserta kejohanan berkenaan.
"Permainan karom ini mempunyai peminatnya tersendiri dan saya berharap acara ini dijadikan sebagai aktiviti tahunan di DUN Jeram ini," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!