Jangka tidak berlaku kenaikan harga makanan ketika banjir

Zahari
Zahari
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri menjangkakan tidak berlaku kenaikan harga bekalan makanan yang mendadak ketika Monsur Timur Laut (MTL) ketika ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan makanan mencukupi dengan persiapan awal sudah dilakukan.

"Johor pernah berdepan banjir sebelum ini dan tidak berdepan isu kenaikan harga bekalan makanan.

"Saya percaya tahun ini juga sama bekalan makanan mencukupi sekali gus tidak berlaku kenaikan harga makanan mendadak," katanya.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri Johor di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Zahari berkata, pekebun sudah dinasihatkan agar menangguhkan kegiatan pertanian mereka sepanjang MTL bagi mengelakkan kerugian.

Katanya, empat daerah merekodkan kerugian pertanian dan penternakan agak tinggi akibat banjir iaitu Batu Pahat, Segamat, Muar dan Pontian.

"Jangan jalankan aktiviti pertanian ketika ini untuk mengelakkan kerugian terutama di kawasan yang kerap dilanda banjir.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang menjalankan kegiatan pertanian sepanjang tahun pula, mereka sudah diminta membuat persiapan awal.

"Bagi penternak pula, ternakan seperti kambing dan lembu boleh dipindahkan ke tempat lebih selamat. Jabatan Pertanian di setiap daerah sudah diminta membantu pekebun dan petani," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!