Seludup kosmetik simpan dalam stor
KOTA BHARU - Tindakan penyeludup membawa masuk kosmetik ke negara ini dan menyimpannya di dalam stor sebelum dijual terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan serbuan di sebuah pangkalan haram di Tumpat.
Aktiviti itu berjaya ditumpaskan oleh pasukan JKDM dengan merampas kosmetik dianggarkan bernilai sebanyak RM24,417.50 dengan nilai cukai RM1,235.85.
Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan pada 6 November lalu itu dilakukan pada jam 2.30 petang oleh Pasukan Marin Kastam ketika kosmetik itu sedang dibawa masuk dari negara jiran.
"Sebelum itu sepasukan pegawai dan anggota Kastam melakukan intipan dan serbuan di Pengkalan Haram Haji Rashid Kebun, Pengkalan Kubor yang dijadikan lokasi pemunggahan barangan kosmetik berkenaan.
"Barangan kosmetik dari negara jiran ini dibawa masuk menggunakan bot melalui pangkalan haram sebelum disimpan di stor untuk dijual di pasaran tempatan," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, pengimportan kosmetik dibenarkan dengan syarat ada permit import daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau memberitahu, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 bagi mengenal pasti pemilik barangan yang dirampas.
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!