Hospital Pasir Gudang dijangka beroperasi Mac tahun depan

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Hospital Pasir Gudang yang akan mula beroperasi secara berperingkat pada Mac depan dapat meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, ketika ini Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang dalam proses mengisi perjawatan kakitangan hospital berkenaan.

"JKNJ sudah menerima kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perjawatan 1,800 kakitangan hospital berkenaan.

"Ketika ini, JKNJ sedang dalam proses mengisi petugas yang akan bertugas di hospital itu nanti.

"Hospital Pasir Gudang akan memiliki 304 katil apabila mula beroperasi nanti sekali gus dapat membantu Hospital Sultan Ismail (HSI) yang ketika ini beroperasi pada tahap maksimum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Ahad.

Pada Jun lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, hospital terbabit dijangka dapat beroperasi pada April kerana proses pembinaan yang lancar.

Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Masai dibangunkan di kawasan 20.6 hektar dan dilengkapi 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir.

Artikel Berkaitan:

Hospital bernilai RM375.7 juta itu hanya 19 kilometer (km) dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12km dari HSI.

Dalam pada itu, Tian Soon berharap projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 akan mula dibina dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, bulan lalu, pembinaan HSA2 dilakukan menerusi Projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP).

"Oleh itu kita harap proses reka bentuk dan perbincangan untuk kerjasama swasta dapat dimuktamadkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan (KKM) tahun depan.

"Ini kerana HSA menampung kapasiti 1,500 katil dan menjadi antara hospital terpenting di negeri ini," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!