Penginapan kediaman tak perlu lagi daftar dengan Motac
SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memberhentikan pendaftaran penginapan kediaman jangka pendek (STRA) dengan kementerian itu mulai Sabtu ini.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sebelum ini pihaknya bertanggungjawab mendaftarkan semua premis penginapan pelancong.
"Pendaftaran itu termasuk 'host' atau ejen yang menjalankan aktiviti penginapan kediaman jangka masa pendek menggunakan model ‘Ekonomi Perkongsian Kediaman’ selaras dengan penetapan Akta Industri Pelancongan 1992.
"Bagi memastikan keseragaman dasar kerajaan berkaitan STRA ini, maka semua 'host' atau pemilik kediaman tidak perlu berdaftar lagi di bawah Motac mulai dari tarikh tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemberhentian pendaftaran itu memudahkan penyeliaan aktiviti STRA di negara ini apabila hanya pihak berkuasa akan mengambil tindakan sekiranya syarat ditetapkan gagal dipatuhi.
"Pendaftaran sebelum ini bertujuan untuk membantu Motac memperoleh data serta statistik yang lengkap dan terkini bagi merangka, menyusun polisi serta strategi pembangunan negara pada masa akan datang," katanya.
Dalam kenyataan sama beliau berkata, kerajaan menerima pelbagai maklum balas daripada penggiat industri dan orang awam mengenai aktiviti penginapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!