Calon PM: Gerakan akan rujuk Majlis Tertinggi

Dominic
Dominic
A
A
A

SHAH ALAM - Perdebatan isu berkaitan pemilihan calon Perdana Menteri dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) akan dirujuk dan dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 9 Disember hadapan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, perkara tersebut merupakan isu kritikal dan perlu diselesaikan segera bagi memberikan kemenangan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Berkenaan perdebatan yang berlaku dalam kalangan parti politik, saya tidak nampak ini akan melemahkan perhubungan antara parti komponen walaupun ada perbezaan pandangan dan cadangan.

“Itu perkara biasa seperti yang saya katakan dalam ucapan Persidangan Perwakilan baru-baru ini, memang kita ada satu gabungan namun, matlamat kita tetap satu iaitu untuk menangkan PN dalam pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2024 di Menara PGRM pada Ahad.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri PN pada PRU akan datang.

Bagaimanapun Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin menegaskan, parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, Dominic memaklumkan, sekarang ini tiada parti politik mampu memperoleh sejumlah 112 kerusi tanpa gabungan bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

“Sebagai komponen parti, kita akan bangkit dengan pendirian sendiri bahawa saya tidak setuju guna nombor pada Ahli Parlimen atau bilangan ahli yang diadakan bagi lantikan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini kalau nak tubuhkan kerajaan perlu ada gabungan bersama dan cukup 112 kerusi. Mana boleh kata satu parti sahaja yang ada majoriti kerusi seterusnya ahli Parlimen itu dilantik jadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Tambah beliau, jika diikutkan kepada pemilihan majoriti tanpa ada sokongan daripada ahli Parlimen, jawatan Perdana Menteri sepatutnya layak diberikan kepada parti DAP kerana mempunyai 40 ahli dalam Parlimen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!