Kerajaan terus bantu, tiada sekatan royalti kepada Terengganu - Fahmi
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menafikan kerajaan Persekutuan mengenakan sebarang sekatan terpilih berkaitan royalti minyak kepada Terengganu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan bantuan kepada negeri itu seperti apa yang dikenali sebagai Wang Ehsan sebelum ini.
"Tak benar dakwaan itu, kita cuma nak pastikan semua peruntukan itu sampai terus kepada mana-mana projek yang dimaksudkan kerana ia (dana) hak milik rakyat dan harus sampai kembali kepada rakyat dengan saluran tepat dan projek dimaksudkan terlaksana.
"Ia bagi memastikan kelancaran mana-mana pelaksanaan projek, dan keduanya untuk memastikan tidak berlaku apa-apa isu dari aspek pengurusan dana, tak naklah dana terima projek tak jalan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sumbangan Minyak Pelincir Enjin kepada 150 pemandu teksi dan e-hailing di Parlimen Lembah Pantai di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih berkaitan royalti kepada negeri itu.
Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lepas, Ahmad Samsuri mendakwa segala urusan perbelanjaan negeri Terengganu berkaitan peruntukan royalti kini memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan mengikut 'case-by-case'.
Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perjalanan dan kos lawatan Perdana Menteri ke luar negara, Fahmi menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai ‘ketinggalan bas’.
"Boleh (minta SPRM siasat), tapi saya nak maklum Tan Sri ketinggalan bas, kita dah keluar kenyataan, sudah perinci perbelanjaan, malah niat Datuk Seri Anwar Ibrahim nak sewa pesawat khas itu untuk kurangkan perbelanjaan dan pembaziran waktu telah beri kerajaan penjimatan lebih RM900,000,” katanya.
Sementara itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR turut menafikan laporan media bahawa lembaga disiplin parti berkenaan akan memuktamadkan tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hari ini, susulan beberapa kritikannya kepada kerajaan.
"Saya tidak dimaklumkan, kebiasaanya bagi parti ini, proses lembaga disiplin itu perlu melalui mesyuarat, akan dibentang ke Mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, tapi setahu saya kita tak dijadual untuk ada mesyuarat hari ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!