Zi Yu cipta hatrik AJBC

Zi Yu ketika beraksi pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2024 di Stadium Bukit Juara Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Zi Yu ketika beraksi pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2024 di Stadium Bukit Juara Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PEMENANG pingat perak Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024, Low Zi Yu mencipta kejayaan hatrik dalam Grand Finals Allianz Junior Badminton (AJBC) setelah menjuarai acara perseorangan wanita Bawah 15 Tahun (B-15) di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Zi Yu, 14, yang mewakili Johor, hanya memerlukan 28 minit untuk menewaskan Teoh Sue Mei dari Kuala Lumpur dengan keputusan 21-10, 21-17.

"Saya sangat gembira sebab boleh menang sebanyak tiga kali kejohanan ini. Bagi saya format kejohanan ini sangat bagus sebab boleh lahirkan lebih ramai atlet untuk wakil negara di pentas antarabangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zi Yu sebelum ini merupakan juara perseorangan wanita B-13 bagi saingan AJBC 2022 dan 2023.

Beliau berkata fokusnya kini terarah kepada tahun 2025 dengan beliau berhasrat menyertai lebih banyak kejohanan B-18 dan B-21 bagi menguji dan meningkatkan lagi tahap permainannya.

Selain Zi Yu, pemenang gelaran lain yang dipertandingkan pada AJBC ialah Putera Raees Rafeal Sulaiman (perseorangan lelaki B-13), Cheong Kai Sheng (perseorangan lelaki B-15), Ng Cia Tin-Putra Assolihin Mohamad Hamim (beregu lelaki B-13) dan Chong Yan Cheng-Mohamad Najib Haqimi Mohamad Osman (beregu lelaki B-15), Siti Nur Aminah Abdullah (perseorangan wanita B-13), Adiq Puteri Waheeda Hermazan-Siti Nur Aminah Abdullah (beregu wanita B-13) dan A. Baavanya-Nur Aina Maisarah Muhammad Hatta (beregu wanita B-15).

Para pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang bagi kategori perseorangan dan RM1,200 bagi beregu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, pihaknya turut memberikan geran istimewa bernilai RM2,000 kepada setiap juara kategori sebagai tambahan kepada hadiah wang tunai yang dimenangi.

Artikel Berkaitan:

"Badminton adalah sukan berkos tinggi dan kami berharap geran khas ini akan membantu membiayai kos pemain berlatih, membeli peralatan dan mengambil bahagian dalam kejohanan kerana pemain perlu bersaing untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Sean berkata, pengenalan kategori baharu B-11 telah berjaya menarik lebih banyak penyertaan apabila jumlah keseluruhan mencecah 3,113 peserta dengan kos pengangkutan serta penginapan peserta dari Sabah dan Sarawak untuk peringkat Grand Finals AJBC ditanggung sepenuhnya oleh pihaknya.

Beliau berkata, usaha ini bertujuan mencungkil lebih banyak bakat untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi seperti Low Zi Yu dan alumni Dania Sofea Zaidi yang baru-baru ini meraih pingat perak di Kejohanan Remaja Dunia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!