Rusia 'rampas' semula' wilayah Kursk ditawan Ukraine

Misil hipersonik Oreshnik itu dilancarkan Rusia, beberapa hari selepas Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh Barat. Foto Agensi
Misil hipersonik Oreshnik itu dilancarkan Rusia, beberapa hari selepas Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh Barat. Foto Agensi
A
A
A

KIEV - Ukraine telah kehilangan lebih 40 peratus wilayah Kursk di Rusia yang ditawan sebelum ini ketika serangan balas mengejut dilancarkan pada Ogos lalu.

Sumber rapat Ketua Turus Ukraine memaklumkan Moscow telah mengerahkan kira-kira 59,000 anggota ke Kursk untuk mengekang kemaraan pasukan tentera mereka.

"Kawasan yang dikuasai daripada kira-kira 1,376 kilometer (km) persegi menjadi semakin kecil akibat serangan balas berterusan dilancarkan musuh. Kini, Kiev hanya mengawal kira-kira 800km persegi di wilayah sempadan tersebut," jelas sumber itu lagi.

Kempen menggempur Kursk itu adalah operasi darat pertama yang dilancarkan ke atas Rusia sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Difahamkan, Moscow semakin mara ke wilayah timur Donetsk selepas perang antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu berlarutan selama lebih dua tahun.

Sumber tersebut juga mengulangi dakwaan bahawa kira-kira 11,000 anggota tentera Korea Utara telah dikerahkan ke barisan hadapan di Kursk.

Kremlin bagaimanapun tidak menafikan atau mengesahkan dakwaan tersebut yang turut dilaporkan beberapa rangkaian media sejak beberapa minggu lalu.

Ketika konflik semakin meningkat, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan mereka mempunyai bekalan peluru berpandu baharu yang lebih canggih dan sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan provokasi itu dibuat sehari selepas Moscow melancarkan misil hipersonik Oreshnik ke atas bandar Dnipro di Ukraine setelah Kiev menggunakan peluru berpandu jarak jauh buatan Amerika Syarikat (AS) dan Britain buat pertama kali.

"Oreshnik tidak boleh dipintas dengan mudah dan lebih banyak ujian akan kami lakukan termasuk di medan tempur," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Putin memaklumkan beliau mengarahkan pengeluaran berskala besar Oreshnik yang berupaya terbang 10 kali ganda kelajuan bunyi. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!