Lam Thye gesa strategi antidadah disemak semula susulan ketagihan meningkat
KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Untuk Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa agar satu kajian menyeluruh dilakukan terhadap pendekatan Malaysia dalam membanteras dadah untuk mengenal pasti kekurangan dan mengambil langkah yang efektif bagi menangani isu.
Lam Thye menekankan bahawa agensi penguatkuasaan perlu memainkan peranan yang paling penting dalam menangani masalah dadah.
"Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak polis dan agensi penguatkuasaan dadah untuk mengatasi masalah ini, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk menangani isu ini dari akar umbinya."
"Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan ke atas pengedar dadah, terutamanya yang menyasarkan golongan belia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lam Thye mengulas mengenai angka yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 31.6 peratus dalam jumlah penagih dadah tahun ini berbanding tahun 2023.
Satu laporan terdahulu turut mendedahkan bahawa 5.5 peratus golongan belia Malaysia berumur antara 15 hingga 40 tahun merupakan pengguna dadah seumur hidup, dengan para pakar mencadangkan bahawa angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
"Jelas sekali, usaha yang kita lakukan masih belum mencukupi untuk mengekang masalah ini, termasuk isu penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara agensi penguatkuasaan dan profesional perubatan untuk mewujudkan program intervensi bagi golongan belia yang berisiko.
"Guru memainkan peranan yang sangat penting. Mereka harus peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar di bawah jagaan mereka dan memberikan bimbingan serta sokongan apabila diperlukan.”
"Selain itu, sekolah-sekolah juga harus mengadakan bengkel dan ceramah mengenai risiko serta tanda-tanda penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak,” kata Lee.
Lam Thye turut meminta agar kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan dapat dijalin bagi mempromosikan aktiviti rekreasi yang sihat, yang dapat melibatkan golongan belia dan menjauhkan mereka daripada dadah.
"Bersama-sama, pihak berkepentingan ini boleh mewujudkan persekitaran yang menyokong untuk mendidik, melibatkan, dan melindungi golongan muda daripada bahaya penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, media sosial juga harus dimanfaatkan sebagai platform untuk mendidik golongan belia mengenai kesan jangka panjang penyalahgunaan dadah, memandangkan pengaruhnya yang meluas di kalangan kanak-kanak dan remaja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!