Banjir: Penduduk di Rantau Panjang sedia berpindah
RANTAU PANJANG - Penduduk di beberapa kampung di Rantau Panjang sudah siap sedia untuk berpindah berikutan air mula naik sejak Jumaat.
Mereka mendakwa setiap tahun terpaksa berpindah kerana kawasan yang didiami rendah dan mudah ditenggelami banjir.
Penduduk Kampung Tersang, Aifa Shafika Ab Rahman, 28, berkata, hujan seminggu lalu menyebabkan halaman rumahnya dinaiki air setinggi 0.4 meter sejak jam 7 malam pada Jumaat.
Bagaimanapun Aifa Shafika dan keluarga belum mengambil keputusan untuk berpindah kerana mahu mengemas rumah dan meletakkan barangan penting di tempat tinggi.
"Kami juga membina titi semalam (Sabtu) bagi memudahkan menyeberang ke jalan raya jika secara tiba-tiba rumah dinaiki air dan terpaksa berpindah," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Suri rumah itu juga memberitahu, sudah membeli makanan keperluan untuk keluarga sebagai persediaan menghadapi banjir.
"Saya sekadar membeli secukupnya kerana kami disediakan makanan jika berpindah di pusat pemindahan banjir," katanya.
Seorang lagi penduduk, Izzati Athirah Mohd Huraini, 22, terpaksa menggunakan bot untuk membawa adiknya pulang dari sekolah.
Katanya, memang menjadi rutin harian pada musim tengkujuh mendayung bot fiber menyeberang banjir sejauh lebih 50 meter dari jalan raya.
"Kami sudah lali dengan keadaan ini tetapi agak penat kerana perlu membersihkan rumah dan mengemas barang-barang yang ditenggelami banjir," katanya.
Izzati Athirah menjelaskan, keluarganya juga sedang membuat persiapan untuk berpindah jika hujan lebat dan air naik lebih tinggi.
Mangsa banjir dari Kampung Bendang Perol, Mohd Hafizi Zakaria, 32, pula sudah berpindah ke PPS Gual Tok Deh pagi tadi (Ahad) berikutan halaman rumahnya ditenggelami air setinggi lebih satu meter.
Mohd Hafizi memberitahu, banjir di kawasan kampungnya sukar surut dan dia pernah tinggal di PPS selama 40 hari pada tahun sebelum ini.
"Setiap tahun kami terpaksa menghadapi banjir termenung yang mengambil masa lama untuk surut," katanya.
Tambah Mohd Hafizi, seramai tujuh keluarga di kawasan kampung itu berpindah selepas hujan berterusan sejak minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!