'Tolong jaga anak kami dengan baik, penuh kasih sayang'

Nur Halimatussa'diyah menunjukkan Alia Majidah yang ditinggalkan dalam peti pelindung bayi di Orphan Care Foundation.
Nur Halimatussa'diyah menunjukkan Alia Majidah yang ditinggalkan dalam peti pelindung bayi di Orphan Care Foundation.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam keadaan masih bertali pusat di peti pelindung bayi dengan dua keping nota memohon agar dipelihara dengan penuh kasih sayang, dua bulan lalu.

Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nur Halimatussa'diyah Abu Yazid berkata, nota dipercayai diletakkan ibu bapa bayi tertulis dengan beberapa ayat.

"Ayat tersebut ialah 'Tolong jaga anak kami dengan baik dan penuh kasih sayang. Maaf sebab susahkan. Kalau boleh tolong jangan ubah nama anak ini. Terima kasih banyak-banyak'.

"Satu nota lagi ditulis perkataan 'Alia Majidah binti Al-Hafiz/Abdullah',"katanya.

Nota dan lampin pakai buang ditinggalkan bersama seorang bayi perempuan, dua bulan lalu.
Nota dan lampin pakai buang ditinggalkan bersama seorang bayi perempuan, dua bulan lalu.

Menurut Nur Halimatussa'diyah, kejadian pada jam 12.05 tengah malam 15 September itu disedari petugas Orphan Care Foundation, Taman Ria Jaya di sini setelah loceng penggera dibunyikan secara automatik apabila bayi diletakkan dalam peti pelindung.

"Bayi yang dipercayai dilahirkan pada 14 September itu dibalut menggunakan tuala dan dihantar bersama lampin pakai buang serta dua nota tersebut," katanya.

Bagaimanapun, bayi perempuan yang kini memasuki usia lebih dua bulan itu, telah dipersetujui didaftarkan atas nama Alia Majidah Abdul Hafiz.

Artikel Berkaitan:

Nur Halimatussa'diyah berkata, pada 29 Oktober lalu, satu perintah jagaan sementara telah diperoleh sebagai keizinan meletakkan bayi di tempat selamat.

Jelasnya, tujuan siaran media ialah bagi mengenal pasti waris bayi perempuan berkenaan sebelum tindakan lanjut dilakukan.

"Orang ramai yang mengetahui sebarang maklumat berkaitan bayi terbabit, diminta menghubungi Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda di talian 04-4204900," katanya.

Tambah beliau, sekiranya tiada waris yang tampil selepas tempoh tuntutan tamat, bayi berkenaan akan diserahkan kepada orang layak dan sesuai untuk dipelihara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!