Sonny Bill Williams dilantik Pro-Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary
PEMENANG Piala Dunia Ragbi dua kali bersama New Zealand pada 2011 dan 2015, Sonny Bill Williams dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November lepas.
Pengumuman pelantikan bekas bintang All Blacks kelahiran Auckland itu dimuat naik di laman Facebook universiti berkenaan hari ini.
"Kami berbangga mengumumkan Sonny Bill Williams, seorang atlet bertaraf dunia yang terkenal dengan pencapaian luar biasa dalam sukan ragbi dan tinju, sebagai Pro-Canselor pertama kami.
"Majlis penyampaian watikah dijadualkan berlangsung di AIU pada 10 Disember,” menurut kenyataan itu.
AIU menekankan pencapaian Sonny, seorang ikon sukan global dan pendukung keadilan sosial yang telah membina kerjaya luar biasa dan reputasi cemerlang di peringkat antarabangsa, dan perjalanan kariernya dalam sukan pula sangat mengagumkan.
Sonny yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (Pengurusan Sukan) dengan Kepujian dari Otago Polytechnic, New Zealand, bukan sahaja terkenal memiliki kerjaya sukan yang cemerlang tetapi juga dedikasinya terhadap usaha kemanusiaan, integrasi budaya dan pemerkasaan belia.
"Sebagai Pro-Canselor, beliau akan memainkan peranan penting dalam menyokong misi AIU untuk melahirkan siswazah yang seimbang, berdaya saing di peringkat global dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
"Penglibatannya akan memperkukuh visi universiti untuk mewujudkan persekitaran pendidikan transformatif dengan kepimpinan berasaskan nilai bertemu kecemerlangan akademik,” menurut kenyataan itu.
Kehadiran Sonny Bill Williams di AIU dijangka memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan secara peribadi dan kerjaya profesional mereka kelak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!