Pasangan kekasih ditahan seludup 8 warga Myanmar
BUKIT KAYU HITAM - Sepasang kekasih sanggup menjadi tekong darat dengan tawaran upah RM200 bagi setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Redzuan Salleh berkata, kegiatan pasangan terbabit terbongkar selepas sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam yang membuat tugas pencegahan penyeludupan (Ops Pintas) terserempak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 5.20 pagi pada Ahad.
Beliau berkata, pihak polis kemudiannya mengekori kenderaan itu sebelum bertindak menahan kenderaan tersebut berhampiran KM5.2 Lebuhraya Utara-Selatan Bukit Kayu Hitam, di sini.
"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan Perodua Alza telah menemui seorang lelaki warganegara tempatan yang bertindak sebagai pemandu kereta dan seorang perempuan warganegara tempatan di sebelah kirinya.
"Di tempat duduk penumpang pula, terdapat seramai empat lelaki serta empat wanita disyaki warganegara Myanmar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, lelaki dan wanita warganegara tempatan masing-masing berusia 21 dan 20 tahun itu disyaki bertindak sebagai tekong darat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga asing yang berusia lingkungan 20 hingga 42 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah dan dipercayai dari Myanmar.
"Melalui soal siasat, didapati kedua-dua tekong tersebut telah ditawarkan upah dari seorang lelaki Myanmar lain dengan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap warganegara asing yang dibawa untuk dihantar dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Sungai Petani," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Redzuan memaklumkan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihak polis sentiasa peka dan aktif khususnya dalam usaha membanteras jenayah melibatkan aktiviti pemerdagangan manusia terutama di sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya lagi, masyarakat diminta turut bersama-sama memberi maklumat supaya aktiviti ini dapat dibanteras dengan menyalurkan melalui talian MERS 999.
"Selain itu, masyarakat boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat serta boleh menggunakan aplikasi VSP yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!