Ahmad Nawab legenda tiada galang ganti - Anwar
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Tan Sri Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan sebagai legenda yang tiada galang ganti dan jasanya akan sentiasa dikenang.
Anwar menerusi hantaran di media sosial rasminya turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
"Saya menerima khabar pemergian Seniman Negara, Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, dengan rasa duka cita yang mendalam.
"Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi-Nya, Insya-ALLAH. Al-Fatihah.
"Negara kehilangan seorang tokoh dan permata seni yang begitu besar jasanya dalam memperkayakan landskap muzik tanah air, bukan sahaja menjadi warisan seni, tetapi juga menjadi pengikat perpaduan di dalam masyarakat kita," katanya pada Ahad.
Ahmad Nawab dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak pada petang Ahad di usia 92 tahun.
Tambah Anwar, Ahmad Nawab bukan sekadar komposer dan pemuzik unggul, tetapi beliau adalah jiwa seni Malaysia yang telah menyentuh hati jutaan rakyat melalui karya-karya puitis yang penuh keindahan dan makna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!