SMK Bukit Kapar diingatkan tidak dabik dada
JUARA Kumpulan D, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar tidak memandang rendah keupayaan SMK Bandar Tasik Puteri apabila kedua-dua pasukan berentap di JSA Arena, Setia Alam pada Selasa ini.
Malah pengendali skuad Bawah 15 (B-15) tahun SMK Bukit Kapar, Hasrul Rasyid Harith menyifatkan keluar sebagai juara kumpulan dengan rekod tanpa kalah bukan jaminan pasukan itu mendapat laluan mudah ke suku akhir.
“Pada pandangan saya, mana-mana sekolah yang layak ke pusingan kedua, sudah tentu pasukan itu bagus dan ada kelebihan tersendiri..
“Saya pasti perlawanan menentang naib juara Kumpulan E SMK Bandar Tasek Puteri akan menjanjikan suatu perlawanan yang menarik.
“Jadi, saya ingatkan pemain-pemain supaya sentiasa berwaspada dan jangan memandang rendah pasukan lawan,” katanya kepada Sukan Sinar.
SMK Bukit Kapar melabuh tirai peringkat Kumpulan D Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 dengan meraih kemenangan dalam semua perlawanan - menewaskan SMK Dato Abu Bakar Baginda (2-0), SMK Seksyen 10 Kota Damansara (1-0) dan SMK USJ 8 (4-0).
Mengulas lanjut kejayaan anak buahnya mengekalkan momentum positif sepanjang kempen peringkat kumpulan Hasrul Rasyid berkata: “Alhamdulillah, pemain-pemain bermain dengan baik memberikan sepenuh jiwa dan raga sepanjang perlawanan peringkat kumpulan.
“Mereka fokus dan berdisiplin dalam setiap perlawanan dan mengikut taktikal yang telah diterapkan barisan jurulatih.
“Biarpun begitu masih terdapat beberapa aspek-aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperbaiki bagi menghadapi perlawanan seterusnya.”
Ditanya mengenai persiapan berdepan SMK Bandar Tasik Puteri, Hasrul Rasyid yang dibantu Khairul Azri Abdullah (pengurus), Mohd Amin Arudin (penolong jurulatih), Md Aril Sawadi (jurulatih penjaga gol) dan Abdullah Naimmullah Abdullah Shergawi (fisioterapi) berkata, tumpuan diberikan kepada memperkemaskan dua bahagian.
“Fokus pasukan pada ketika ini adalah memperkukuhkan bahagian pertahanan selain mempertajamkan bahagian penyudah kerana fasa kalah mati bukan sesuatu yang mudah.
“Selain itu, mental pemain-pemain juga dimotivasikan dengan semangat juang agar dapat kekal fokus dan berjuang habis-habisan dalam perlawanan itu nanti.
“Saya juga ingatkan pemain-pemain supaya tidak terlalu mendabik dada dengan kemenangan diraih sepanjang peringkat kumpulan. Kita fokus satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.
Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!