Ireland peruntuk dana lindungi kejutan ekonomi daripada Trump - PM

Simon Harris Foto Reuters
Simon Harris Foto Reuters
A
A
A

MOSCOW - Pihak berkuasa Ireland memperuntukkan dana yang besar untuk melindungi negara daripada potensi kejutan ekonomi yang mungkin timbul daripada dasar perdagangan Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata Perdana Menteri Ireland, Simon Harris dalam temu bual dengan Sky News yang diterbitkan pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Harris berkata Trump menerima mandat yang besar hasil keputusan pilihan raya presiden AS dan menambah bahawa Trump 'benar-benar bermaksud apa yang dikatakannya mengenai kedudukannya dalam soal perdagangan dan tarif'.

"Kita tidak boleh berpuas hati, dan itulah sebabnya parti saya mengetepikan jumlah yang sangat besar ke dalam dana, dana masa depan, untuk melindungi negara kita daripada sebarang kejutan ekonomi," kata Harris.

Trump telah mengumumkan rancangan untuk meneruskan dasar perlindungan dan mengenakan tarif 10 hingga 20 peratus ke atas import, dengan tarif ke atas barangan China mencecah sehingga 60 peratus.

Semasa penggal pertamanya sebagai presiden AS, Trump mengenakan tarif baharu ke atas keluli dan aluminium. Pada akhir 2022, 'perang perdagangan' baharu mula terbentuk antara AS dan rakan kongsi Eropahnya selepas negara itu menggubal undang-undang untuk memerangi inflasi, yang dianggap Eropah sebagai persaingan tidak adil. Sebagai tindak balas, Kesatuan Eropah mengenakan tarif ke atas barangan AS. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!