Yoav Gallant 'penyembelih Gaza'

Yoav Gallant senasib Netanyahu terima waran tangkap ICC kerana dalangi jenayah perang ke atas penduduk Palestin.
Yoav Gallant senasib Netanyahu terima waran tangkap ICC kerana dalangi jenayah perang ke atas penduduk Palestin.
A
A
A

TEL AVIV - Nama Yoav Gallant kembali mendapat perhatian komuniti antarabangsa selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis lalu mengeluarkan waran tangkap ke atasnya berhubung dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Genting Gaza.

Sebelum ini, Gallant dihimpit kontroversi apabila dipecat daripada jawatan Menteri Pertahanan Israel setelah timbul perselisihan pendapat dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam beberapa isu.

Menerusi pengumuman pada awal bulan lalu, Netanyahu memberi alasan kononnya wujud jurang antara mereka berhubung pelan operasi di medan tempur setelah lebih 13 bulan perang genosid yang telah membunuh 44,000 orang tidak berdosa di Gaza.

Gallant bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin sejak Oktober 2023.
Gallant bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin sejak Oktober 2023.

“Rasa percaya antara kami telah musnah sejak beberapa bulan lalu,” kata Netanyahu yang kemudiannya menamakan Menteri Luar, Israel Katz untuk menggantikan Gallant.

Punca sebenar penyingkirannya hanya kerana Gallant dilihat sebagai penghalang kepada pendekatan penuh muslihat yang diguna pakai Netanyahu dalam rundingan gencatan senjata Gaza yang masih gagal dicapai hingga kini.

Bekas Menteri Pertahanan itu dikatakan berulang kali menggesa pemimpin 'ekstremis' berkenaan supaya mencapai kesepakatan bagi membebaskan baki tawanan di Gaza.

Pada Ogos lalu, Gallant juga mempersoalkan matlamat sebenar Netanyahu yang bermati-matian mahu menghapuskan pejuang Hamas meskipun objektif itu mustahil sama sekali dan jelas demi kepentingan peribadinya semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Gallant, 66, turut mendakwa Netanyahu sengaja menjerumuskan Israel ke dalam operasi ketenteraan yang panjang di Gaza, disifatkan sebagai keputusan yang bakal membawa 'bencana' kepada IDF.

Sejak sebelum Perang Gaza tercetus kira-kira 13 bulan lalu, Gallant sudah tidak sependapat dengan pemimpin Parti Likud tersebut yang merancang untuk melemahkan sistem kehakiman negara tersebut setelah imejnya tercalar kerana berdepan beberapa kes termasuk rasuah.

Ketika siri protes antikerajaan pada Mac 2023, Gallant dengan lantang mengecam cadangan kontroversi Netanyahu hingga membangkitkan kemarahan pemimpin tersebut.

Cubaan untuk memecat Gallant pada masa itu berdepan bantahan banyak pihak hingga menyebabkan Netanyahu terpaksa akur dengan desakan umum dan menangguhkan keputusan penyingkirannya.

PIMPIN PERANG GAZA PERTAMA

Menurut profil dipaparkan Kementerian Pertahanan, Gallant pernah menyambung pengajian dalam bidang ekonomi dan perniagaan di University of Haifa dan program pengurusan kanan di Harvard University.

Karier dalam tentera bermula pada 1977 sebagai komando tentera laut Flotila ke-13 dan bertukar unit beberapa kali sebelum dilantik sebagai mejar jeneral ketika dinamakan sebagai Setiausaha Tentera Perdana Menteri pada 2002 selain menjadi Komander Pusat Perintah Selatan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Sepanjang tempoh berkhidmat sehingga 21 Oktober 2010, Gallant pernah memimpin IDF ketika Operation Cast Lead atau Perang Gaza Pertama pada Disember 2008 yang berlarutan selama 22 hari dan meragut lebih 1,400 nyawa penduduk Palestin.

Kempen 'penyembelihan' penduduk Gaza termasuk kanak-kanak pada masa itu menyebabkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Tel Aviv mendakwa Gallant melakukan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.

Meskipun berdepan dakwaan sedemikian, pemerintah meluluskan pencalonan Gallant sebagai Ketua Turus pada 5 September 2010 malah Netanyahu menyokong pelantikan itu berdasarkan tempoh khidmatnya selama lebih tiga dekad.

Beberapa bulan selepas itu, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak membatalkan pelantikan Gallant susulan skandal berhubung tindakannya merampas tanah milik Tel Aviv berhampiran kediamannya di Moshav Amikam.

Siasatan bagaimanapun berpihak kepadanya dan dia terlepas dakwaan itu.

Pada Januari 2015, dia menceburi bidang politik dengan menyertai Parti Kulanu berhaluan sederhana di Knesset (Parlimen) dan dilantik sebagai Menteri Pembinaan.

Ketika Pilihan Raya Umum 2022, Gallant mengambil peluang untuk bertanding selepas peralihan parti kepada Likud dan dilantik sebagai Menteri Pertahanan susulan kemenangan Netanyahu.

Baru-baru ini, Gallant sekali lagi menentang perang tiada kesudahan di Gaza.

“Pemerintahan tentera di wilayah itu bukanlah sebahagian daripada matlamat asal, tetapi tindakan politik yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya ketika merujuk kepada rancangan peribadi Netanyahu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!