'Saka tak menipu, kecederaannya tulen'

Saka menjadi pemain harapan arteta sejak beberapa musim lalu. Foto Agensi
Saka menjadi pemain harapan arteta sejak beberapa musim lalu. Foto Agensi
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta tampil mempertahankan Bukayo Saka dan menegaskan bahawa kecederaan dialami pemain itu baru-baru ini adalah tulen, sambil menambah bahawa kelab boleh menyediakan imbasan MRI sebagai bukti.

Bintang Arsenal itu dikeluarkan daripada skuad England untuk perlawanan Liga Negara-Negara UEFA dua minggu lalu atas alasan kecederaan.

Namun, penyertaannya dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest pada Sabtu menimbulkan syak wasangka bahawa kecederaan tersebut mungkin direka-reka.

Dalam satu sidang media, seorang wartawan bertanya kepada Arteta sama ada Saka benar-benar cedera, sambil mengisyaratkan bahawa kelab mungkin telah meminta pemain itu memalsukan masalah tersebut.

Arteta menjawab: “Kami boleh menyediakan imbasan MRI, ia sangat jelas. Komunikasi antara staf perubatan Arsenal dan pasukan kebangsaan adalah sangat telus. Dia tidak melakukan apa-apa selepas itu. Dia meninggalkan skuad dan memerlukan masa untuk pulih. Dia hanya menjalani satu sesi latihan.”

Arteta menekankan bahawa tindakan yang diambil kelab adalah berdasarkan keperluan untuk melindungi pemain.

Kapten England, Harry Kane, baru-baru ini mengkritik pemain yang mengelak daripada menyertai tugasan pasukan kebangsaan dan tidak menghadiri perlawanan yang dianggap kurang penting.

Penyerang Bayern Munich itu menegaskan bahawa mewakili negara sepatutnya menjadi keutamaan berbanding komitmen bersama kelab.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!