Abang lori janganlah stres sangat
TIADA siapa inginkan perkara buruk terjadi kepada diri, ahli keluarga atau orang lain namun kemalangan jalan raya adalah satu isu yang tidak pernah surut sebaliknya sentiasa berterusan.
Kadar kes kemalangan maut jalan raya melibatkan kenderaan berat yang dikemudi ‘abang lori’ atau ‘abang bas’ juga sangat tinggi dengan jumlah kematian boleh dikatakan agak menakutkan.
Ini berdasarkan laporan sebanyak 652 kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres direkodkan bagi suku pertama tahun 2024.
Memetik jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah di Dewan Rakyat pada Jun turut memaklumkan, daripada jumlah itu, 287 kes maut dicatatkan manakala 95 mangsa cedera parah dan 270 cedera ringan.
Sekadar mengambil contoh, pada 30 September lalu, tiga dilaporkan maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 42, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong.
Kejadian pada jam 4 pagi itu turut menyebabkan sebuah treler musnah 100 peratus akibat terbakar.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Ridzuan Zulkafly, 36, Muhamad Zaimi Shariff, 35, dan Muhamad Azizul Fitrie Md. Zairi, 23.
Terbaharu pada 18 November lalu, hayat seorang warga emas berakhir apabila dilanggar trak pikap yang bergerak ke depan akibat dihentam sebuah bas ketika berhenti di tepi jalan dekat Kilometer 5.5 Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 65 tahun itu berhenti di tepi jalan apabila tayar kereta jenis Toyota Camry dipandunya pancit dan dalam masa sama cuba dibantu oleh pemandu trak pikap berkenaan.
Laluan di mana kemalangan ini berlaku adalah laluan biasa penulis lalui saban hari dan penulis sendiri sudah biasa melihat kenderaan berat ini dipandu dengan laju di laluan berkenaan.
Apa punca kemalangan jalan raya? Secara umumnya, apa yang kita boleh disimpulkan sebagai punca kemalangan trafik adalah disebabkan oleh sikap individu pemandu itu sendiri.
Meskipun tidak semua, tapi wujud segelintir pemandu kenderaan atau penunggang motosikal yang hanya memikirkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain.
Di samping itu, mereka yang menghabiskan sejumlah besar masa di jalan raya juga dilaporkan mungkin mempunyai tahap stres lebih tinggi, kerana keperluan untuk tergesa-gesa, berbanding dengan orang yang menghabiskan waktu lebih singkat untuk pulang.
Atas faktor ini diharap abang lori kita dapat menangani situasi itu dengan bijak kerana mereka adalah antara pengguna yang paling lama menghabiskan masa di jalan raya berbanding pemandu kenderaan lain.
Punca lain kemalangan adalah menukar lorong dalam jarak tidak selamat, titik buta ketika menukar lorong atau memotong, penglihatan terhad dan jalan licin akibat hujan serta kenderaan tidak diselenggara secara berkala.
Paling menakutkan adalah memandu dengan sangat laju. Kita semua mungkin akan bersetuju bahawa ini adalah punca kemalangan jalan raya yang paling utama dan paling bahaya.
Bagaimanapun, bagi mengelakkan lebih banyak tragedi penulis cenderung melihat tindakan awal perlu bermula daripada sikap pemandu serta kondisi kenderaan berat selain tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Sehubungan itu, agensi penguatkuasaan disarankan untuk terus mempertingkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
Pengusaha serta majikan kenderaan perdagangan pula wajar melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman bagi memastikan tahap kesihatan pemandu dan kenderaan dipandu berada pada tahap terbaik.
Aspek penyelenggaraan kenderaan secara berkala harus dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal selain mematuhi sepenuhnya pemeriksaan kenderaan bagi memastikan ia selamat dan layak berada di atas jalan raya.
Apabila semua faktor ini dipenuhi tidak mustahil tahap stres abang lori di negara kita dapat dikurangkan walaupun mereka perlu memandu sehingga lebih 10 jam sehari tanpa henti dan pulang ke rumah berjumpa anak isteri sebulan sekali.
* Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!