Syarikat swasta mungkin mohon balasan - C4 Center
SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan dana syarikat swasta yang mengikuti urusannya ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit yang akan memohon balasan.
Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah berkata, walaupun pertimbangan kewangan mungkin menjadi faktor utama keputusan itu, namun kerajaan juga seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta.
“Pada masa akan datang, kerajaan mungkin akan menerima tekanan daripada syarikat tersebut agar memberikan quid pro quo sebagai balasan kepada pembiayaan yang mereka berikan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Pushpan berkata, kerajaan mestilah sentiasa berwaspada dalam memastikan tidak terhutang budi kepada pihak-pihak korporat supaya kepentingan awam dapat diutamakan.
“Selain itu, undang-undang pembiayaan politik mesti digubal dan dilaksanakan demi mengawal penyaluran kewangan dalam sistem politik negara kita,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi Anwar ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menjelaskan, kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta daripada RM6.162 juta kos penerbangan khas Perdana Menteri ke lima negara.
Menurutnya, kos yang ditanggung kerajaan itu adalah bersamaan 27 peratus manakala bakinya 73 peratus atau RM4.5 juta dibayar oleh delegasi perniagaan yang menyertai lawatan berkenaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!