Tindakan terhadap ahli proses biasa parti - Penganalisis politik
SHAH ALAM - Tindakan mana-mana parti termasuklah Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap ahlinya adalah satu proses biasa dalam sesebuah parti dan tidak dilakukan secara melulu.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, tindakan penggantungan atau pemecatan keahlian parti akan melalui beberapa peringkat termasuklah jawatankuasa disiplin dan sebagainya terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, PKR akan mengalami kerugian sekiranya tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim kerana beliau merupakan individu yang menjadi semak imbang kepada parti itu.
“Kalau dari segi pandangan neutral dan umum, Hassan Karim antara tokoh yang agak kritikal dan dia dilihat sebagai orang yang masih berpegang teguh pada prinsip reformasi.
“Bagaimanapun, dari sudut parti maka perlu diambil tindakan terhadap dirinya,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Khamis, Hassan dihadapkan ke Lembaga Disiplin PKR selepas didapati mengkritik kerajaan dalam isu pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Dalam pada itu, Mujibu berkata, PKR merupakan sebuah parti yang terbuka untuk menerima sebarang kritikan.
Namun begitu, katanya, kritikan terbabit tidak seharusnya dibuat secara melulu terutamanya secara terbuka di Parlimen dan juga secara umum seperti mana dilakukan Hassan baru-baru ini.
Beliau berkata, Hassan sebagai orang parti sewajarnya menggunakan saluran yang betul sekiranya memiliki sebarang ketidakpuashatian.
“Saya rasa setiap parti ini, ia ada saluran tertentu dan proses tersendiri untuk memberi kritikan,” ujarnya.
Beliau berpendapat PKR mungkin akan mengambil tindakan ke atas Hassan selepas mempertimbangkan beberapa aspek tersebut.
Sementara itu, setakat jam 7 petang Ahad, sumber terdekat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memaklumkan keputusan nasib Hassan berhubung isu tersebut, tertangguh.
Menurut sumber itu, satu mesyuarat MPP yang sepatutnya diadakan pada Ahad, difahamkan telah dibatalkan pada saat akhir.
Katanya, keputusan pembatalan mesyuarat MPP PKR itu dibuat susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden parti perlu mengadakan persiapan bagi mengetuai rangka lawatan kerja ke Korea Selatan.
“Memandangkan mesyuarat MPP yang dijadual diadakan hari ini (Ahad) dibatalkan, besar kemungkinan keputusan nasib Hassan tidak akan diumumkan hari ini.
“Kecuali jika pihak perwakilan Lembaga Disiplin hendak mengumumkan keputusan itu sendiri, mungkin media akan dapat tahu lebih lebih awal.
“Tetapi saya rasa mustahil kerana proses tatacara pengurusan parti kebiasaannya menuntut Lembaga Disiplin untuk memberitahu keputusan berkenaan dalam mesyuarat MPP terlebih dahulu,” kata sumber berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!