Pelancong datang bukan kerana bahasa asing

Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Awang Sariyan
Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Pelancong datang ke sesebuah negara kerana daya tarikan serta kos yang munasabah, bukan tertarik dengan penggunaan bahasa asing di negara itu.

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, alasan untuk kepentingan pelancong tidak timbul sebagaimana di negara yang mengutamakan bahasa kebangsaan seperti Perancis, China, Jepun, Korea dan negara lain.

“Langkah penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di tempat awam berdasarkan Undang-undang Kecil Iklan yang selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Tindakan itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman atau penafian kepada bahasa lain kerana undang-undang berkenaan menyebut keutamaan penggunaan bahasa Melayu.

“Jika ada keperluan menggunakan bahasa lain, ruang tetap ada dengan syarat tidak kelihatan lebih utama seperti saiz huruf, warna dan kedudukannya pada iklan atau bahan peragaan lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu Awang yang juga Ahli Dewan Negara menjelaskan, isu penggunaan bahasa kebangsaan telah berlarutan puluhan tahun dan langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya dipuji.

Malah ujarnya, lebih 140 PBT di seluruh negara sepatutnya mengikuti langkah tersebut di kawasan masing-masing.

“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, milik semua warganegara Malaysia tanpa mengira etnik atau keturunannya.

Artikel Berkaitan:

"Fakta itu sama dengan mana-mana negara yang penduduknya berbilang etnik termasuk negara China yang mempunyai 56 etnik tetapi bahasa kebangsaannya, Mandarin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!