Waran tangkap Netanyahu beri harapan
SHAH ALAM - Tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant memberi pengharapan serta keadilan kepada rakyat Palestin setelah sekian lama.
Bendahari Viva Palestina Malaysia (VPM), Puan Sri Norma Hashim berkata, keputusan itu diharapkan mampu membela nasib rakyat Palestin yang ditindas dan dibunuh akibat jenayah perang dilakukan oleh Israel.
“Sebagai ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang telah melakukan kerja-kerja bantuan setiap hari di Gaza, saya sangat gembira mendengar tentang waran tangkap yang dikeluarkan untuk Netanyahu.
“Menangkapnya tidak akan mengembalikan orang yang telah meninggal dunia tetapi ia akan memberi sedikit rasa keadilan kepada saudara-mara mereka yang telah terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya kepada Sinar Harian.
ICC pada Khamis membuat keputusan bersejarah apabila mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang di Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza memasuki tahun kedua dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau 44,000 orang serta mencederakan 103,000 yang lain.
Mengulas lanjut, Norma berkata, tindakan itu wajar berikutan Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan pelbagai cara termasuk kanakkanak menerusi penembak tepat dan pengeboman.
“Rejim Zionis juga mengebom sekolah, hospital, doktor, pekerja kesihatan, profesor, guru dan wartawan, malah kanak- kanak di Gaza juga tidak bersekolah kerana ramai guru mereka yang telah dibunuh termasuk rakan pelajar.
“Pelajar universiti juga tidak mempunyai institusi untuk kembali kerana semuanya sudah dibom,” ujarnya.
Katanya, rakyat Palestin mengalami kesukaran dalam mendapatkan makanan, sumber air bersih, pakaian dan ubat-ubatan. “Di VPM, kami berurusan dengan permintaan di lapangan setiap hari dari Gaza. Makanan hampir tidak masuk (ke Gaza) dan menjadi sangat mahal.
“Pam air juga telah dimusnahkan menyebabkan orang ramai bergantung dengan lori tangki air untuk membawa air minuman kepada mereka, lebih menyedihkan orang yang melecur akibat terkena bom pula tidak mampu mendapatkan ubat kerana mahal.
“Rakyat Palestin di utara terpaksa meninggalkan rumah dengan senjata api dan tidak membawa pakaian menyebabkan mereka kekurangan pakaian hangat untuk musim sejuk,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!