Perincian cadangan Pelabuhan Sanglang dimuktamadkan akhir tahun ini
ALOR SETAR - Syarikat dan perunding yang dilantik sedang memperhalusi cadangan Pelabuhan Sanglang di daerah Kubang Pasu dan dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara yang sedang dimuktamadkan ialah lokasi serta aktiviti pedalaman dan hiliran yang sesuai.
Menurutnya, cadangan pelabuhan ini akan dibangunkan melalui inisiatif swasta dengan pembangunan sebuah pelabuhan kargo jambatan darat yang berfungsi sebagai jalan pintas antara Laut Andaman dan Gulf of Thailand yang akan memanfaatkan kedua-dua negara memandangkan gerbang terminalnya adalah antara Malaysia (Sanglang) dan Thailand (Songkhla).
“Syarikat terbabit telah kemukakan cadangan pelabuhan ini kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan kini sedang dltambah baik berdasarkan maklum balas diterima daripada Kementerian,” katanya menjawab soalan lisan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu-Kota Siputeh) berkaitan status pembangunan jeti pelabuhan laut dalam Kuala Sanglang, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.
Sanusi berkata, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat teknikal bagi memperhalusi kesesuaian lokasi tapak dan bentuk pembangunan projek yang dicadangkan oleh syarikat terbabit.
“Melihatkan kepada manfaat ekonomi yang bakal dinikmati khususnya peluang pekerjaan dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri termasuk Malaysia, kita komited untuk merealisasikan projek ini melalui kuasa negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya urusan berkaitan tanah,” jelasnya.
Menurutnya, cadangan pelabuhan ini diharap mendapat sokongan dan kelulusan kerajaan Persekutuan kerana manfaatnya begitu besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Sanusi memaklumkan, cadangan pelabuhan Sanglang ini merupakan projek berimpak tinggi dan disenaraikan sebagai salah satu projek keutamaan negeri yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dalam mencapai ‘The Greater Kedah’ menjelang 2050.
“Pelabuhan ini akan menjadi ‘feeder port’ bagi melengkapi keperluan kapasiti Pelabuhan Pulau Pinang pada masa kini.
“Ia juga akan berfungsi sebagai hab tenaga baharu berasaskan ammonia dan hidrogen, selain meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di bahagian Pantai Barat daerah Kubang Pasu yang kini didominasi oleh aktiviti pertanian dan perikanan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, projek penempatan penduduk terlibat khususnya nelayan dan petani juga akan diberikan perhatian.
“Saya akan beri keutamaan kepada isu ini, kemungkinan kita akan letakkan syarat agar penempatan baharu disediakan terlebih dahulu untuk manfaat bersama projek dan penduduk,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Ashraf berkenaan cadangan demografi penempatan di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!