Anwar, Yoon adakan mesyuarat dua hala mengenai hubungan Malaysia-Korea Selatan

Anwar ketika tiba di Seoul Airbase, Seongnam Airport dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan hingga 26 November ini. Foto Bernama
Anwar ketika tiba di Seoul Airbase, Seongnam Airport dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan hingga 26 November ini. Foto Bernama
A
A
A

SEOUL - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol di Pejabat Presiden Yongsan di sini.

Kedua-dua pemimpin yang diiringi beberapa menteri, mengadakan mesyuarat dua hala bermula pada jam 11.10 pagi (10.10 pagi waktu Malaysia), dijangka berlangsung selama kira-kira sejam.

Mereka membincangkan pencapaian serta kemajuan sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik 64 tahun lalu serta masa depan hubungan tersebut.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, kedua-dua pemimpin akan menilai perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea yang telah berkembang secara meluas dari segi skop dan kandungan, sejak hubungan diplomatik dimulakan pada tahun 1960.

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz; Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta pegawai kanan kerajaan.

"Mereka juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama serta bertukar pandangan mengenai Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan Korea Selatan sebagai Pengerusi APEC, kedua-dua pada 2025,” kata Mohd Zamruni.

Anwar dan Suk Yeol turut dijadualkan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon, serta Kerjasama di bawah Pendekatan Bersepadu mengikut Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!