Kerajaan Pulau Pinang tidak hasrat tambah peruntukan ADUN pembangkang
GEORGE TOWN - Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menambah peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketetapan itu dibuat berikutan kerajaan negeri telah melantik Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) di semua kawasan pembangkang di negeri ini.
Menurutnya, bagi tahun 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 kepada ADUN kerajaan, RM60,000 kepada ADUN pembangkang dan RM100,000 kepada Pegawai Penyelaras Kadun di setiap kawasan.
"Segala peruntukan demi manfaat penduduk, tidak kira di kawasan ADUN kerajaan mahupun ADUN pembangkang telah pun diselaraskan secara bersepadu oleh jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri yang antara lain diterjemahkan kepada projek dan program di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau pelaksanaan projek atau program secara langsung oleh kerajaan negeri.
"Sebagai wakil rakyat, semua ADUN boleh mengetengahkan masalah atau permintaan penduduk di kawasan mereka kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri yang sentiasa bersedia membantu rakyat dengan mengamalkan dasar, 'no wrong door policy,'," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Isnin
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zulkifli Bakar (PN-Penanti) yang mempersoalkan mengapa wakil rakyat pembangkang tidak ditambah peruntukan mereka bahkan peruntukan diberi kepada penyelaras Kadun yang melebihi daripada wakil rakyat pembangkang.
Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata, jumlah peruntukan sebanyak RM60,000 yang diterima pembangkang itu juga akan dikekalkan bagi tahun 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!