Mineral dalam hutan simpan kekal 'halangan' perlombongan di Kelantan

Mohamed Fadzli menjawab soalan pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.
Mohamed Fadzli menjawab soalan pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Taburan keberadaan mineral atau unsur nadir bumi (REE) dalam hutan simpan kekal antara faktor yang menjadi halangan melambatkan proses perlombongan mineral berkenaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, berdasarkan peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984, perlombongan tidak boleh dijalankan di dalam hutan simpan kekal melainkan ia diwarta keluar terlebih dahulu.

Beliau memberitahu, proses berkenaan juga perlu melalui pelaksanaan perintah moratorium eksport mentah mineral unsur nadir bumi dan bukan radioaktif (NR-REE) yang diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA)

"Kajian ini penting bagi memastikan perlombongan tidak merosakkan ekosistem selain beberapa proses yang panjang untuk mendapatkan kelulusan projek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Jaafar (Pas-Gaal) mengenai halangan yang melambatkan proses Perlombongan REE di Kelantan ketika Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.

Ketika menjawab soalan tambahan Gaal mengenai garis panduan khusus untuk operasi perlombongan, Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri sudah mengambil langkah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan beberapa agensi termasuk Jabatan Geosains dan Mineral dan Jabatan Tanah dan Galian bagi memastikan proses mengikut peraturan.

"Pada masa sama kita mahu memastikan pembangunan industri ini tidak akan memudaratkan alam sekitar serta memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat dan negeri," katanya.

Selain itu beliau memberitahu, satu makmal geokimia kini dalam pembinaan di kawasan industri Pengkalan Chepa.

Artikel Berkaitan:

"Makmal tersebut sudah hampir siap dan dalam masa beberapa bulan akan dapat digunakan sepenuhnya dan kini dalam proses pemasangan beberapa peralatan," katanya yang turut menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Hadi Awang Kechil (Pas-Kuala Balah) mengenai makmal pembinaan geokimia itu.


__________________________________________________________________________________

'Istilah tengok saja tidak tepat'

KOTA BHARU - "Istilah tengok sahaja tu tidak tepat," kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai model perniagaan yang akan digunakan oleh kerajaan negeri dalam mengurus mineral atau unsur nadir bumi (REE) di negeri ini.

Syahbuddin meminta penjelasan mengenai model perniagaan yang akan digunakan oleh kerajaan negeri ketika. Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.

Syahbuddin ketika Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.
Syahbuddin ketika Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.

Beliau bertanya "Adakah sama seperti pemberian pajakan lombong emas seperti baru-baru ini (orang tunjuk jongkong emas), kita tengok sahaja atau melalui anak syarikat atau yayasan kerajaan negeri sebelum diserahkan kepada orang tengah untuk mencari pelabur".

Menurut Mohamed Fadzli, semua kaedah perlombongan memerlukan satu proses yang ketat dan kerajaan negeri akan melakukan pemantauan bermula dengan anak syarikatnya termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Beliau memberitahu, kesemua mineral itu memerlukan proses yang rapi terutama bagi mengelakkan kesan terhadap alam sekitar.

"Sebab itu kita melaksanakan libat urus bersama agensi Kerajaan Persekutuan dan dimaklumkan juga bahawa kelulusan bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sahaja memerlukan tempoh antara dua hingga tiga tahun," katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan keuntungan maksimum, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan syarikat perlombongan yang sudah terbukti mampu mengurus projek itu.

"Kita sedang berbincang dengan syarikat Lynas Malaysia dan masih di peringkat awal tetapi agensi kerajaan negeri sudah bersedia untuk tujuan itu," katanya.

Syahbuddin ketika bertanya soalan tambahan mengenai REE ketika Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 2024 pada Isnin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!