Sultan Selangor dukacita pihak tiada kepakaran persoal fatwa

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terdapat umat islam yang tiada kepakaran, namun mempersoalkan dan mempertikai fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Baginda bertitah, proses pembuatan fatwa dilakukan secara teliti dengan mengambil pandangan banyak pihak terutama anggota jawatan kuasa fatwa serta pakar hukum syarak.

Menurut baginda, ia kemudian diangkat bagi mendapat perkenan baginda sebelum diwartakan.

"Beta menyeru segelintir umat Islam yang sering mempersoal tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu fatwa yang dikeluarkan.

"Rujuk pihak berkuasa agama jika terdapat sebarang kekeliruan atau persoalan berbangkit," titah baginda pada perasmian Program Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz pada Isnin.

Program bertemakan Ilmu Tasawwuf Murungkai Masalah Ummah turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Turut diadakan Majlis Pelancaran Jurnal Fatwa dan Falak Selangor (Juffas), Sistem Taudhih Al-Ahkam dan Sistem e-Falak Selangor.

Menerusi program itu, baginda berharap ia menjadi langkah penting ke arah penerapan pemahaman sebenar ilmu tasawwuf dan tarekat dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Beta mengambil maklum antara cabaran menimbulkan kerisauan terhadap pengalaman tasawwuf dan tarekat apabila terdapat golongan tidak memahami ilmu dengan tepat atau belajar dari guru tiada tauliah lalu menyebarkan ilmu atau fahaman secara meluas kepada orang ramai.

"Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman betul kepada masyarakat melalui usaha agensi agama mahupun institusi yang terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar," titahnya.

Baginda turut menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memastikan semua penceramah menyampaikan pengajaran Islam terutama akifah, syariah, pengajaran ilmu dan tasawwuf mempunyai tauliah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pada masa sama baginda turut mencadangkan diwujudkan penduan, sibilus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawwuf dan tarekat di Selangor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!