Perlu pinda akta sebelum MLFF dilaksanakan - Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu meminda akta tertentu sebelum sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) dilaksanakan bagi mengelak pertambahan pengguna lebuh raya yang culas membayar tol.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setakat ini jumlah pengguna yang tidak membayar tol ialah 0.01 peratus antaranya disebabkan oleh tailgating (mengekori rapat di belakang kenderaan).
"Palang tol ialah bentuk kawalan, jika sesiapa yang tidak bayar boleh kelihatan dengan jelas ... tetapi, kalau ada sistem tol tiada rumah tol macam sekarang, maka mereka yang tidak bayar tol akan bertambah, jadi sekarang kita kena pinda akta bagaimana kaedah (atau) siapa yang kena bayar (jika) mereka lari daripada pembayaran tol ini?” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai perkembangan status terkini pelaksanaan MLFF, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Isnin.
Pada masa sama, Ahmad berkata, keputusan mengenai penggunaan MLFF akan dimuktamadkan pada 16 Disember ini berdasarkan perjanjian yang ditetapkan.
Hingga kini, beliau berkata, sebanyak 20 syarikat konsesi lebuh raya sedang dalam rundingan manakala 13 lagi masih belum bersetuju menggunakan sistem berkenaan.
Sementara itu, Ahmad berkata, bagi memastikan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya berjalan lancar, syarikat konsesi telah melaksanakan kerja penalaan (fine-tuning) dengan lebih kerap di lorong tol, serta membuat hebahan kepada pengguna dalam memastikan baki e-dompet mereka mencukupi.
Beliau berkata, terdapat 580 daripada 2,348 lorong tol yang menggunakan RFID setakat ini dan keperluan untuk menambah lorong yang menggunakan sistem itu dipantau dari semasa ke semasa.
Beliau menjawab soalan asal Muhammad Fawwaz mengenai usaha bagi menyelesaikan ketidakcekapan sistem RFID dan sama ada kerajaan bercadang untuk menyeragamkan sistem bayaran tol di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!