Anwar nafi guna dana syarikat swasta
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan penggunaan dana syarikat swasta bagi lawatan ke empat negara.
Kata beliau, sebaliknya lawatan itu menggunakan wang kerajaan bernilai RM1.6 juta.
"Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna Penerbangan Malaysia (MAS) untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang kerajaan sepenuhnya.
"Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama. Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.
"Jika guna jet Eksekutif Kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk Kerajaan hanya RM1.6 juta," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah berkata, tindakan Anwar menggunakan dana syarikat swasta yang mengikuti urusannya ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit yang akan memohon balasan.
Anwar berkata, walaupun pertimbangan kewangan mungkin menjadi faktor utama keputusan itu, namun kerajaan juga seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta.
Beliau turut menasihati rakyat agar tidak terperangkap dengan fitnah zaman sekarang.
"Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!